Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata pengundi di Sabah tidak gembira dengan kerajaan negeri semasa kerana mereka tidak nampak sebarang pembaharuan terhadap janji-janji yang diberikan dahulu.

“Daripada maklum balas penduduk, saya rasa mereka tidak gembira dari segi beberapa sebab.

“Kerajaan negeri gagal menyampaikan apa yang mereka telah janjikan. Penduduk juga mula melihat betapa pentingnya bagi kerajaan negeri dan persekutuan untuk bekerja rapat, untuk menguruskan dalam cara yang lebih baik dan mendapatkan lebih banyak sumber untuk rakyat,” katanya.

Mah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditemui semasa walkabout memperkenalkan calon Barisan Nasional-MCA bagi kerusi DUN Elopura, Chan Boon Thian di bangunan kedai Bandar Kim Fung.

Beliau berkata maklumbalas daripada penduduk tempatan terhadap Chan setakat ini baik dan itu adalah satu tanda yang positif bahawa parti itu berpeluang untuk menang di kerusi Elopura.

“Penduduk di Elopura ada keperluan dan kita mendengarnya. Melalui hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan, sekiranya Elopura diwakili oleh wakil rakyat BN, kita boleh menjaga kebajikan penduduk di sini.

“Saya diberitahu terdapat beberapa keperluan yang perlu diberi perhatian seperti menambahbaik rumah warga tua dan hospital di sini,” katanya.

Manakala, Chan berkata manifestonya sebagai calon Elopura akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya akan kongsi manifesto dalam masa terdekat. Setakat ini, masalah terbesar yang dihadapi penduduk di sini adalah kejatuhan ekonomi. Kita berharap kerajaan negeri Sabah akan selari dengan kerajaan persekutuan untuk memastikan kita mempunyai masa depan yang lebih baik untuk penduduk di Elopura.

“Apabila tidak selari, kerajaan negeri dan persekutuan akan mempunyai masalah dari segi peruntukan, dana dan pentadbiran.

“Sudah tentu apabila kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan, saya pasti kerajaan persekutuan akan memberi kita sokongan yang besar,” tambahnya.

Chan, 40, ketika ini memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa MCA Sabah dan Timbalan Setiausaha MCA Bahagian Sandakan.

Beliau juga dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sandakan.

Chan akan berdepan dengan lima pencabar bagi kerusi DUN Elopura iaitu penyandangnya, Chong Ket Kiun (Warisan-DAP), Voo Min Gin (Parti Cinta Sabah), Chong Thien Ming (LDP), Siti Khairiah Sheikh Mohammad (USNO) dan Mohamad Saini Ahmad Tang (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

-BN News Online-