15 Oktober 2019

Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr Tee Ching Seng

Program Subsidi Petrol tidak praktikal, membazirkan wang yang patut digunakan membantu B40

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, kerajaan Malaysia sepatutnya menggunakan keuntungan daripada eksport petroleum untuk membantu golongan berpendapatan rendah B40 mengharungi kesan kenaikan harga petrol.

Ini kerana program subsidi petrol oleh kerajaan Pakatan Harapan akan melihatkan harga petrol diapungkan mengikut harga pasaran dan ini secara langsung bakal menyebabkan kenaikan harga barang.

Lebih-lebih lagi, keputusan kerajaan untuk tidak menetapkan harga siling petrol mungkin menyebabkan harga petrol meningkat sehingga menjadi tidak mampu. Oleh itu, apakah asas kepada jaminan Menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution bahawa kenaikan harga petrol tidak akan membebankan rakyat? 

Adakah beliau tidak sedar bahawa kenaikan harga minyak secara langsung akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan?

Nampaknya janji Pakatan Harapan pada PRU14 untuk menurunkan harga petrol menjadi pusingan U terbaru.

Lebih mengecewakan lagi, kerajaan Pakatan Harapan telah membayar sebanyak RM25 juta kepada GHL Transact Bhd untuk menjalankan kajian yang bersifat tidak menyeluruh dan kurang memuaskan. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa bukan semua dalam golongan B40 akan menikmati subsidi tersebut kerana mereka gagal memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Jikalau harga petrol semakin meningkat, maka subsidi RM30 pun tidak cukup membantu menampung kos sara hidup yang semakin membebankan.

Oleh itu, kerajaan digesa melaksanakan program yang lebih spesifik dan pragmatik untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada hasil minyak negara, dan bukannya membebankan rakyat.

-MCA online-