Pengerusinya, Nicole Wong Siaw Ting berkata, langkah ini adalah bagi memuaskan hati semua pihak.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda MCA bersetuju dengan pindaan itu dengan beberapa syarat dan keadaan termasuk pendaftaran pengundi secara automatik dan dibenarkan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, Nicole memberitahu, pendidikan sivik atau subjek politik juga perlu disepadukan ke dalam silibus pendidikan nasional.

“Anak-anak muda perlu diingatkan bahawa mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Moral yang diajar di sekolah hanya menyediakan peringkat asas sistem politik negara.

“Selain itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) mesti dimansuhkan. Seperti semua sedia maklum, AUKU menghancurkan kuasa autonomi universiti, mencampuri kebebasan akademik dan menekan hak kemanusiaan dengan menghalang mahasiswa menyertai politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada waktu ini, kata Nicole, akta berkenaan yang menghalang mahasiswa menyertai politik akan mengurangkan minat mereka untuk berbincang dalam bidang berkenaan.

Beliau malah memberitahu, mengurangkan had umur pengundi tetapi tidak menghapuskan akta yang menekan golongan belia tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kami ingin melihat pertubuhan politik boleh memasuki universiti dalam keadaan yang tersusun rapi, dijalankan aktiviti secara terbuka dan boleh berinteraksi dengan mahasiswa,” ujarnya.

- Utusan Online-