TEKS UCAPAN Y. B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI

MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA MERANGKAP PRESIDEN MCA

 

PERHIMPUNAN PATRIOTIK MASYARAKAT CINA

16hb. SEPTEMBER 2017

PWTC KUALA LUMPUR

Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri

Tun Michael Chen, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, maafkan saya kerana tidak dapat menyebut nama anda semua satu persatu memandangkan terlalu ramai Tan Sri yang ada di sini hari ini.

Pemimpin-pemimpin pertubuhan dan masyarakat Cina di peringkat pusat, negeri, daerah dan peringkat akar umbi,

Dan seterusnya, rakan-rakan kaum Tionghua dari seluruh negara

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia dan salam Sehati Sejiwa kepada semua yang hadir dalam majlis ini. 大家早上好!

Selamat datang ke Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina pada hari bersejarah ini. Himpunan ini bukan sahaja bertujuan merayakan ulangtahun kemerdekaan negara ke-60, tetapi juga untuk meraikan Hari Malaysia yang ke-54.

Di kesempatan ini juga saya ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri atas kesudian YAB Dato’ Sri hadir walaupun baru sahaja kembali dari lawatan ke Amerika Syarikat yang boleh saya katakan suatu lawatan yang amat berjaya.

Sesungguhnya YAB Dato’ Sri merupakan seorang pemimpin negara yang telah berjaya membawa Malaysia dan meletakkan negara seiring dengan negara-negara maju di persada antarabangsa. Hadirin sekalian,

Perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini lebih bermakna dengan kemenangan besar atlet-atlet negara yang berjaya memungut 145 buah pingat emas seterusnya menjadikan kita juara keseluruhan dalam temasya Sukan SEA baru-baru ini. Ia merupakan hadiah terbesar bagi Hari Kemerdekaan kita.

Pada hari ini Hari Malaysia, 15 ribu orang dari masyarakat Cina berkumpul di sini menunjukkan kesetiaan dan semangat cinta kepada negara. Dewan ini tidak dapat muat semua yang hadir. Mohon maaf. Ada yang berada di atas, ada yang berada di belakang.

Perjuangan kemerdekaan-muafakat membawa berkat

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Mengimbau enam dekad yang lalu, pejuang-pejuang kemerdekaan negara dari semua kaum seperti Melayu, Cina dan India serta pemimpin-pemimpin dari Sabah dan Sarawak dengan kebijaksanaan yang tinggi dan berpandangan jauh, telah menyatupadukan semua kaum melalui konsep keterangkuman. Dengan itu, kita berjaya meyakinkan British akan kemampuan kita untuk mentadbir negara sehingga memperoleh kemerdekaan secara aman.

Sejak hari bersejarah itu, konsep perkongsian kuasa yang kita amalkan menjadi asas kita dalam menentukan hala tuju sendiri. Pencapaian ini bukannya mudah – ianya bukti kesahihan kata-kata keramat ‘muafakat membawa berkat’ dan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Ingatlah hadirin sekalian, segala apa yang kita nikmati pada hari ini, bukanlah datang bergolek. Ia adalah hasil dari kebijaksanaan, keterangkuman, keberanian dan pengorbanan bapa-bapa pejuang kemerdekaan kita. Selepas 60 tahun berdikari, kita kini berada dalam fasa transformasi yang pesat dalam merangka masa hadapan tanah air tercinta ini.

Penerimaan kepelbagaian asas keutuhan negara

Adalah jelas bahawa keutuhan dan kemakmuran negara kita ini adalah berasaskan kepada penerimaan kepelbagaian oleh rakyatnya. Kepelbagaian dari segi aliran pendidikan, agama, budaya dan sebagainya menjadi kelebihan dan kekuatan kita.

Ini sememangnya diperakui oleh banyak pihak termasuk negara-negara asing yang kagum dengan keunikan tersendiri negara kita yang tidak dapat dilihat di mana-mana negara dalam dunia ini.

Salah satu faktor yang menjamin kemakmuran dan kejayaan negara adalah formula kejayaan kerajaan Barisan Nasional yang setelah sekian lama dipraktikkan. Lima nilai teras Barisan Nasional iaitu hormat-menghormati, kerjasama semua kaum, keharmonian, perpaduan dan consensus telah memastikan pembangunan negara yang berterusan. Hari ini jelas kelihatan nilai teras Barisan Nasional ini telah menjadi nilai umum rakyat.

Untuk itu, saya menyeru kepada tuan-tuan puan-puan sekalian agar sama-samalah kita teruskan perjuangan yang mulia ini.

Mekanisme perundingan BN berkesan menyelesaikan pertikaian

Tidak dinafikan negara kita sentiasa menghadapi pelbagai cabaran dalam bentuk ekstremisme dan pertelingkahan dalaman. Dalam mana-mana organisasi sekali pun, perbezaan pendapat dan percanggahan tindakan tentu sekali tidak dapat dielakkan. Namun begitu, adalah penting kita menyelesaikan isu-isu tersebut melalui semangat Musyawarah.

Selepas pilihanraya yang lalu, sesetengah pihak mempersoalkan: ”Apa lagi yang orang Cina mahu?” Sebenarnya komuniti Cina tidak pernah meminta melebihi apa yang sewajarnya. Mereka juga mempunyai emosi yang perlu kita tangani.

Masyarakat Cina dalam negara ini adalah patriotik kepada negara, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Harapan mereka hanyalah ingin melihat negara ini terus maju dengan lebih pesat. Mereka ingin melihat ekonomi negara terus berkembang baik. Peluang perniagaan yang terbuka, sistem penyampaian yang telus, adil dan saksama.

Mereka tidak mempertikaikan sekiranya pihak kerajaan membantu kaum bumiputera dan kaum-kaum lain yang miskin, tetapi membantu juga orang Cina yang miskin. Dalam bidang ekonomi, kita berharap kerajaan dapat membantu dan memudahcara peluang-peluang ekonomi yang sedia ada secara inklusif seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan perlu deliver dan sistem penyampaian perlu efisien. Jangan biarkan sistem birokrasi dan red tape menghalang pertumbuhan ekonomi.

YAB Dato’ Sri dan Hadirin sekalian,

Dalam bidang pendidikan, masyarakat Cina juga amat mengambil berat terutamanya aliran sekolah Cina. Mereka ingin melihat pembangunan SJKC dipertahankan dan bilangan SJKC dipertingkatkan.

Mereka juga melihat kepelbagaian bahasa dan budaya sebagai satu kekuatan dan keunikan negara. Seperti masyarakat lain, mereka juga ingin melihat kestabilan politik, keselamatan negara terjamin dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan yang efisien agar negara tercinta ini terus maju dan membangun pesat pada masa-masa akan datang.

Kami amat yakin kerajaan di bawah pimpinan YAB dapat mengambil tindakan bagi menangani keperluan emosi masyarakat cina ini.

Kesederhanaan Perdana Menteri

Sememangnya umum mengetahui bahawa YAB Perdana Menteri merupakan seorang pemimpin yang moderate. Beliau senantiasa bersedia mendengar keluhan rakyat dari pelbagai latar belakang.

Sifat kesederhanaan dan inklusif YAB Perdana Menteri wajar dihargai oleh kita semua. Contohnya, beliau amat dikenali dengan sifat terbuka dan sokongan beliau terhadap pendidikan Cina semenjak menjadi Menteri Pendidikan sehingga kini. Antaranya, beliau telah memansuhkan Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan 1961, meluluskan penubuhan universiti swasta, meluluskan pembinaan sekolah persendirian Cina Chong Hwa (Kuantan) dan 2 cawangan sekolah menengah Foon Yew (di kulai dan Bandar Sri Alam, Masai, Johor Bharu) serta turut memberikan peruntukan khas lebih daripada RM600 juta kepada SJKC semenjak 2009 hingga 2016. Terima kasih Yang amat Berhormat, terima kasih daun keladi, kalau ada tambah lagi.

Wawasan dan hala tuju Perdana Menteri jelas dan tegas

YAB Perdana Menteri mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas dan tegas. Dengan komitmennya untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, agenda transformasi beliau seperti NKRA, NKEA, NBOS dan sebagainya amat berkesan serta berada di landasan yang betul.

Buktinya, semenjak beliau mengambilalih tampuk pemerintahan pada 2009, KDNK telah meningkat dari USD202 bilion ketika itu kepada USD296 bilion pada 2016 sementara pendapatan per kapita turut melonjak dari RM 26,000 kepada RM41,000.

Pada masa yang sama, pelaburan langsung asing (FDI) meningkat dari RM5.1 bilion kepada RM41 bilion. Kadar inflasi terkawal dan pengangguran rendah.

Greater Kuala Lumpur yang diilhamkan YAB Perdana Menteri bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sistem pengangkutan komprehensif seperti LRT. MRT, High Speed Rail dan ECRL serta projek-projek infra rakyat seperti Bandar Malaysia, TRX, Tugu Malaysia dan River of Life akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Ekspresi 1Malaysia Negaraku

Ekspresi 1Malaysia Negaraku yang baru diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri adalah amat bertepatan dan kena pada masanya. Ia adalah sebuah inisiatif untuk rakyat mengekspresikan semangat cintakan negara Malaysia.

Dan atas semangat cintakan Malaysia ini jugalah yang menghimpunkan kita semua di sini hari ini untuk melafazkan cinta murni ini, untuk meraikan Hari Malaysia, bagi melaungkan ekspresi 1Malaysia Negaraku dan untuk menunjukkan sokongan padu kita semua kepada YAB Perdana Menteri.

Harapan ikhlas saya adalah agar semua pertubuhan Cina di seluruh negara bersatu tenaga untuk menyokong Perdana Menteri dan memperkukuhkan kerajaan, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dan disanjung tinggi.

Seterusnya, izinkan saya berucap dalam Bahasa Cina.

-MCA online-