16 Oktober 2019


Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan, Sdri Ng Sing Phing

----------------------------------------------------------

Sampai bilakah undang-undang mengawal vape akan dibentangkan?

Vape dilihat semakin popular terutamanya di kalangan pemuda, namun ia menimbulkan persoalan mengenai kesan-kesannya terhadap kesihatan pengguna. Malah, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan pengguna juga menggesa kerajaan untuk mengharamkannya, ataupun untuk mengawal penggunaannya.

Pada November tahun lepas, Kementerian Kesihatan pernah mengumumkan bahawa mereka dalam proses merangka satu undang-undang untuk mengawal penggunaan rokok tembakau dan juga rokok elektronik (vaping). Namun, hampir setahun berlalu tetapi undang-undang tersebut masih belum kelihatan. Ini amat membimbangkan kerana kesihatan rakyat sepatutnya diutamakan.

Lebih-lebih lagi apabila Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad pernah mendedahkan bahawa sebanyak 300,000 pelajar terjebak dengan penggunaan vape, malah turut melibatkan 50,000 pelajar perempuan.

Walaupun masih tiadanya rangka undang-undang mengenai vape, tetapi Kementerian Kesihatan, bersama dengan Kementerian Pendidikan, masih boleh mengambil langkah-langkah yang lain untuk mengawal gejala ini.

Contohnya, Kementerian Pendidikan boleh menganjurkan kempen kesedaran mengenai bahayanya vape kepada para pengguna, terutamanya pelajar-pelajar sekolah, di samping melarang penggunaannya di kawasan sekolah. Selain itu, kempen tersebut juga boleh mewujudkan kesedaran di kalangan ibu bapa supaya mereka lebih sedar dan prihatin terhadap kegiatan anak-anak mereka.

Penjualan vape juga wajar dihadkan kepada pengguna yang berusia lebih daripada 18 tahun seperti penjualan rokok dan arak. Ini kerana vape dikhuatiri meninggalkan kesan yang lama terhadap pengguna atau menjejaskan kesihatan mereka, dan didakwa mempunyai kesan sama seperti rokok.

Tambahan lagi, wujud dakwaan bahawa gejala penggunaan vape dibimbangi menjadi punca kepada penyalahgunaan dadah. Maka itu, ia harus diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Akhir kata, kerajaan digesa menyiapkan segera kajian bagi penggubalan rangka undang-undang mengenai vape supaya rakyat sedar akan baik buruknya gejala ini, dan bagaimana ia patut dikawal demi kesihatan rakyat.

-MCA online-