17 Januari 2020

Kenyataan Media Timbalan Presiden MCA merangkap Ketua MCA Perak Dato’ Dr Mah Hang Soon

MCA kepada DAP Perak : Mansuhkan tol Lebuhraya WCE, Tepati janji anda kepada rakyat

Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan ADUN Keranji Chong Zhemin digesa menjawab bagaimana kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan janji manifesto mereka untuk memansuhkan tol.

Warta Kerajaan Persekutuan Perintah Jalan-Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pungutan Tol) (Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (Taiping-Banting)) 2020 yang dikeluarkan pada 15 Januari 2020 membuktikan bahawa DAP dan Pakatan Harapan telah mengkhianati rakyat dan gagal melaksanakan “Janji 6: Menghapuskan Kutipan Tol”.

Menurut dokumen berkenaan, Menteri Kerja Raya Baru Bian telah memberi kuasa kepada West Coast Expressway Sdn Bhd untuk meminta, memungut dan menyimpan tol bagi tempoh hampir 44 tahun, bermula dari 15 Januari 2020 hingga 19 Disember 2063. Ini juga bercanggah dengan janji manifesto untuk “menghapuskan monopoli”.

Dalam Buku Harapan, Pakatan Harapan telah merungut mengenai tawaran MAJU Holdings untuk mengambil alih konsesi PLUS selama 20 tahun. Akan tetapi, konsesi yang diberi kepada WCE ini melebihi 43 tahun, iaitu dua kali ganda lebih lama daripada tawaran MAJU. Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan tidak mengambil kisah mengenai kesusahan rakyat yang disebabkan kenaikan kos sara hidup, kuasa beli yang lemah, dan kenaikan kadar pengangguran yang disebabkan pelabur-pelabur asing yang memindahkan operasi mereka ke negara lain.

Monopoli tol ini mungkin mencecah RM23.60 bagi kenderaan Kelas 3 yang masuk di Beruas dan keluar di Kg Lekir. Ini amat membebankan kepada pengguna WCE terutamanya mereka yang mengangkut bekalan barang-barang. Susulan kos besar ini, tidak mungkin peniaga tidak akan menaikkan harga barang dan pengguna perlu membayar lebih.

Pada 9 Januari 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula mengumumkan bahawa kerajaan akan kekal beku kenaikan kadar tol untuk tahun ini.

https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/01/09/guan-eng-toll-rate-freeze-extended-to-2020-to-ease-malaysians-burdens/1826190  

Namun, pengenalan tol WCE ini adalah salah satu cara bagi kerajaan menampung kerugian yang bakal dialami. Ini bukanlah cara yang betul untuk membekukan kadar tol. 

Oleh itu, adakah DAP Perak dan wakil rakyatnya di peringkat negeri dan pusat akan memenuhi janji mereka untuk memansuhkan semua tol? Bagaimanakah mereka merancang membuat demikian jika Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mewartakan tol WCE?

-MCA online-