Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA Peringkat Negeri

Ucapan Perasmian oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong

Salam sejahtera kepada semua Ketua Bahagian Pemuda MCA, dan selamat datang ke majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pemuda MCA peringkat negeri dalam norma baharu ini.

Selepas tahun 2020 melabuhkan tirainya, kita tidak menjangkakan akan memulakan minggu kedua tahun baharu 2021 ini dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sedia maklum, negara kita sekarang menghadapi gelombang ketiga jangkitan pandemik COVID-19. Setakat 13 Januari, jumlah kes positif harian yang dicatatkan mencecah empat digit selama 10 hari berturut-turut. Jumlah kes positif di Malaysia telah melebihi 140,000 dan jumlah kematian melebihi 560. Setakat hari ini, masih terdapat 30,000 jumlah pesakit yang positif, dan jumlah direkodkan di seluruh dunia sudah hampir 100 juta kes!

Statistik ini hampir melumpuhkan sistem kesihatan negara kita. Demi mengawal penularan pandemik ini, kerajaan terpaksa membuat keputusan yang sukar, iaitu melaksanakan semula PKP 2.0 dan mengisytiharkan darurat. Keputusan ini dibuat semata-mata demi kepentingan rakyat.

Negeri-negeri yang dikenakan PKP2.0 merupakan pusat-pusat industri dan perniagaan penting yang memacu ekonomi negara. Oleh itu, dijangkakan keadaan ekonomi negara akan terjejas teruk. Salah satu statistik juga menunjukkan bahawa sejak pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB), Malaysia mencatat kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM300 juta sehari. Dalam keadaan yang teruk ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk lebih mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat berbanding ekonomi negara.

Pada masa ini, negara-negara jiran kita seperti Singapura dan Indonesia telah memulakan pemberian vaksin kepada rakyat mereka, dan tidak lama lagi Malaysia akan melakukan perkara sama. Pada 11 Januari lepas, kerajaan kita melalui Kementeran Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menandatangani kontrak dengan Pfizer untuk membekalkan vaksin COVID-19.

Tambahan lagi, Pharmaniaga Bhd juga telah bekerjasama dengan Sinovac Life Sciences Co. Ltd. untuk membekalkan 14 juta dos vaksin kepada kita. Ia dijangkakan bahawa vaksin ini akan sedia diberi kepada rakyat pada akhir bulan Mac tahun ini. Ini adalah perkembangan terbaru dari kerajaan mengenai pembelian dan pembekalan vaksin. Pemuda MCA mengharapkan pemberian vaksin ini dapat dipercepatkan dengan harapan ia dapat melindungi rakyat dan secara langsung memulihkan ekonomi negara.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebaik sahaja vaksin COVID-19 ini diluluskan, keutamaan untuk menerima vaksin ini akan diberi kepada petugas-petugas barisan hadapan, rumah-rumah penjagaan warga emas, pasukan keselamatan seperti anggota tentera dan polis, anggota kastam dan imigresen serta anggota bomba.

Kelompok kedua yang akan menerima vaksin ini adalah mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun, mereka yang mengalami penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, strok, kegagalan buah pinggang, kolesterol tinggi dan obesiti.

Seterusnya adalah mereka dalam industri perkhidmatan awam, seperti pembantu kedai, mereka dalam industri pengangkutan, para guru, pekerja bank dan pengawal keselamatan.

Fasa keempat adalah untuk para pelajar.

Pemuda MCA bersetuju sepenuhnya dengan pelan kerajaan ini kerana barisan petugas hadapan merupakan golongan berisiko tinggi, dan pada masa sama jika seseorang warga emas dijangkiti, mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi.

Banjir di Pantai Timur dan Johor

Awal tahun 2021 ini juga kita ditimpa musibah banjir besar yang telah melanda tiga negeri di Pantai Timur dan dikebanyakan kawasan di Johor serta telah menjejaskan puluhan ribu mangsa.

Saya amat berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) di beberapa negeri bersama-sama dengan ahli-ahli MCA tempatan yang telah mempamerkan semangat saling bantu-membantu yang tinggi. Mereka telah menyediakan barangan bantuan, mengerah keringat dan sokongan-sokongan lain di kawasan-kawasan bencana di seluruh negara. Ini adalah salah satu contoh bagaimana MCA sentiasa bersama rakyat. Sekiranya rakyat ditimpa kesusahan, MCA sedia membantu dengan seluruh keupayaan kita.

Disebabkan sumbangan dari pelbagai pihak, kita berjaya mengumpul derma yang banyak dalam waktu yang singkat. Namun, kita akan terus berusaha untuk memobilisasikan sukarelawan kita dan mengumpul derma untuk membantu mangsa membina semula tempat tinggal mereka.

Keadaan politik negara kita

Keadaan politik negara kita masih lagi huru-hara. Sementara negara kita menghadapi ancaman pandemik ini, ekonomi negara kita lumpuh dan kesihatan kita terancam, masih ada segelintir pihak yang lebih berminat bergelut untuk jawatan Perdana Menteri. Mereka seakan tidak lagi ambil kisah terhadap jumlah kes harian positif COVID-19 yang semakin meningkat secara mendadak.

Pandemik COVID-19 ini semakin serius, dan keadaan politik negara semakin huru-hara. Oleh itu, Pemuda MCA menyeru mana-mana pihak termasuk kerajaan dan pembangkang supaya berhenti berpolitik.

Pemuda MCA di seluruh negara berpendiran bahawa pihak pembangkang sudah melampaui batas apabila mereka mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya pada masa krisis ini berlaku. Ia seakan mencabar kewibawaan Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan. Pemuda MCA mengecam keras mana-mana pihak yang berbuat demikian, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sekarang, kita akan bercakap mengenai peranan belia dalam politik:

Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen dan Undang-undang, Dato’ Takiyuddin Hassan telah berkata bahawa penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Selepas dasar ini dilaksanakan, dijangkakan seramai 7 juta pengundi baharu akan ditambah ke dalam senarai pengundi, dan kebanyakan mereka adalah pengundi muda.

Ini bermakna, pengundi mudalah yang akan menentukan siapa yang akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

Oleh itu, kita harus berusaha dengan lebih kuat lagi, dan berharap para perwakilan negeri dapat melontarkan idea dan pandangan semasa perhimpunan agung tahunan kali ini, kerana kita memerlukan input untuk merangka strategi dengan lebih berkesan.

Namun begitu, saya ingin mengingatkan kepada semua saudara-saudari Pemuda MCA supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15. Bilakah pilihanraya akan diadakan? Ini adalah soalan yang penting, tetapi apa yang lebih penting, adakah kita sudah bersedia? Justeru itu, kita harus bersedia mengambil kesempatan kewujudan peluang ini!

Akhir sekali, kita akan menyentuh isu ekonomi:

Langkah-langkah pemulihan ekonomi pasca pandemik

Menurut statistik Kementerian Sumber Manusia, kadar pengangguran dalam penggal keempat tahun lepas adalah 4.69 peratus, atau 22,560 orang menganggur.

Sepanjang beberapa bulan lalu, kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membantu majikan mengekalkan pekerja, memberi bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan dan mereka yang hilang punca pendapatan, dan juga membantu mereka mencari pekerjaan baharu. Di bawah pelan PENJANA, Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan enam (6) langkah untuk membantu mengekalkan pekerjaan disamping mewujudkan pekerjaan baharu bagi mereka yang menganggur dan mereka yang telah tamat pengajian.

Berikut adalah 6 langkah utama di bawah PENJANA untuk membantu majikan dan mereka yang telah kehilangan pekerjaan:

1. Program Subsidi Upah.

2. Portal MyFuture Jobs Perkeso.

3. Perlindungan Sosial dan Latihan bagi Pekerja Ekonomi Gig.

4. Insentif Pengaturan Kerja Fleksibel.

5. Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan.

6. Skim Bantuan Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran.

Empat (4) langkah pertama dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala yang kelima dilaksanakan bersama oleh PERKESO dan agensi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF). Manakala langkah yang keenam dilaksanakan sepenuhnya oleh HRDF. Sekiranya anda ada apa-apa pendirian atau cadangan, kita amat mengalu-alukannya.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada anda semua yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri perhimpunan ini secara maya. Saya mengalu-alukan apa-apa cadangan daripada anda semua. Saya juga harapkan anda sentiasa menjaga kesihatan semasa tempoh krisis ini. Sampaikan juga salam saya kepada ahli-ahli keluarga anda. Marilah kita mengambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama keluarga kita. Kita tidak bersendirian menghadapi krisis ini, kerana kita ada keluarga kita dan insan tersayang!

Terima kasih semua!

-MCA online-