Pelaksanaan perintah darurat disifatkan sebagai langkah tepat untuk 'merehatkan' Malaysia daripada terus dibelenggu isu politik.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata proklamasi berteraskan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu bukan bertujuan memindahkan hal ehwal pentadbiran negara kepada kuasa tentera.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil kerajaan memandangkan wujud segelintir pihak yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"MCA menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas berkenaan mengisytiharkan proklamasi darurat.

"Langkah ini selaras matlamat untuk membendung penularan COVID-19 dan merapatkan semula jurang politik yang tercetus sejak kebelakangan ini.

"Kami menaruh kepercayaan Perdana Menteri dan baginda membuat keputusan paling tepat, sekali gus memberi ruang kepada petugas barisan hadapan menumpukan segala perhatian ke arah memerangi pandemik serta menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

"Percaturan seperti ini perlu diambil kerana kadar penularan COVID-19 meningkat secara mendadak, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan perintah darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan hingga 1 Ogos ini atau suatu tarikh lebih awal, jika angka kes positif COVID-19 berupaya dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Meskipun situasi pandemik COVID-19 semakin meruncing, Sin Woon berkata, segelintir pihak dan parti politik masih mengutarakan desakan untuk mengadakan PRU, kononnya bagi mendapat mandat rakyat serta membentuk kerajaan baharu.

"Pihak berkaitan juga cuba menggagalkan usaha meluluskan Belanjawan 2020 dan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang akhirnya mengundang ketidakstabilan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta sesetengah kerajaan negeri.

"Tindakan seperti ini menjadi kekangan ke arah usaha memerangi penularan jangkitan COVID-19 yang semakin meruncing dan membimbangkan.

"Oleh itu, darurat ialah jalan paling tepat untuk menyatukan rakyat Malaysia, supaya bersama menggembleng tenaga ke arah memerangi penularan wabak ini dan meredakan tindakan berpolitik, didalangi pihak yang dahagakan kuasa," katanya.

-Berita Harian-