Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa Skim mySalam adalah projek gagal dalam memberi perlindungan insurans perubatan kepada golongan B40. Dakwaan yang dibuat oleh Presiden MCA itu berdasarkan keterangan infografik mySalam melalui laman sesawangnya yang menjelaskaskan tentang 45 penyakit kritikal. (https://www.mysalam.com.my/b40/info/?url=ci_BM).

Dakwa beliau, kalau golongan B40 patah tangan kiri, pesakit ini masih tak dapat menuntut bayaran RM8,000 kecuali pesakit sendiri patahkan sebelah tangan atau kaki, barulah layak dapat RM8000.

“Orang memang gelak!

“Skim apa ini? Siapa yang untung?,” soal Ka Siong sambil bertanya kenapa Menteri Kewangan mengikut telunjuk syarikat insurans Great Eastern dalam menuntut pampasan.

Menurutnya, tidak bolehkah skim berkenaan dibuat demi memanfaatkan golongan B40 dan bukan menentukan definisi kecacatan kekal dalam polisi insurans.

“Kalau tujuan mySalam untuk membantu golongan B40, bukankah mereka yang patah sebelah kaki atau tangan juga layak diberi bantuan RM8,000? Kalau patah sebelah tangan atau kaki, beri jumlah yang kurang daripada pesakit yang patah kedua-dua belah tangan atau kaki, apa salahnya?

“Lagipun, daripada data yang diumumkan oleh Lim Guan Eng, hanya RM13.7juta atau 3.4% daripada RM400 juta yang diperuntukkan oleh mySalam dimanfaatkan kepada pesakit B40 pada tahun 2019,” ujarnya.

– MalaysiaGazette