17 April 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Kaji dahulu sebelum melaksanakan sistem percukaian baharu

Cadangan kerajaan untuk menukarkan sistem percukaian dalam usaha menggalakkan penggunaan produk tempatan memang tidak masuk akal. Walaupun usaha kerajaan untuk menggalakkan industri tempatan memang dialu-alukan, tetapi kerajaan disaran menjelaskan terlebih dahulu sistem percukaian baharu ini sebelum meluluskannya.

Kami khuathir kerajaan akan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas barangan import, di samping eksais duti yang telah dikenakan ke atas barang-barangan import. Jika ya, bukankah ini akan membebankan rakyat lagi?

Kebanyakan rakyat masih mengingati zaman di mana industri automobil negara terjejas akibat perlindungan yang diberi kepada Proton. Pada masa itu, usaha tersebut bertujuan membantu industri kereta buatan tempatan, tetapi sebaliknya ia menyusahkan ramai kerana terpaksa membeli kereta yang kualitinya tidak seberapa disebabkan harga terlalu mahal bagi kereta import. Akhirnya, rakyat yang menderita, dan hanya segelintir kroni-kroni Tun Dr Mahathir yang menerima manfaat.

Usaha menukarkan sistem percukaian harus dibuat dengan berhati-hati, dan kerajaan disaran mendapat pendapat daripada pakar-pakar ekonomi, pihak majikan serta persatuan-persatuan pengguna sebelum membuat keputusan secara melulu.

Sistem percukaian amat sensitif dan bakal membebankan rakyat. Janganlah “hangat-hangat tahi ayam” mengumumkan sistem cukai baharu tetapi terpaksa menarik balik selepas menerima maklum balas negatif kerana ini bakal menjejaskan keyakinan pelabur asing. Ingatkah apa berlaku apabila Pakatan menggantikan GST dengan SST tanpa kajian mendalam? Harga barangan telah menaik mendadak. 

Pakatan sepatutnya merangkakan dasar-dasar untuk membantu industri-industri tempatan menjadi lebih berdaya saing dan membantu mereka menembus pasaran dunia. Semasa MCA menjadi sebahagian kerajaan, kami telah menggalakkan kerjasama di antara syarikat-syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat di China di bawah Inisiatif “Belt and Road”.

Sebagai kerajaan baharu, Pakatan Harapan perlu sedar akan tanggungjawab mereka untuk menjaga dan melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat, dan berhenti membuat pendirian ataupun keputusan yang menyusahkan rakyat, dan akhirnya menyuruh rakyat supaya “ikat perut” dan “memberi lebih masa kepadanya”.

-MCA online-