Kerajaan menegaskan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong tidak mendorong Kabinet menamatkan projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Dalam respons terhadap saman kontraktor, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, kerajaan berkata, Wee tidak boleh dilihat menyalahgunakan kedudukannya dan bertindak tidak adil dalam penamatan kontrak itu.

“Beliau menjalankan tugasnya sebagai menteri pengangkutan dengan melakukan usaha wajar terhadap projek KVDT2 sebelum mengemukakannya kepada Kabinet untuk keputusan bersama.

“Selain itu, kami ingin menegaskan kami mempunyai hak berdasarkan syarat surat setuju terima untuk menamatkan kontrak KVDT2,” kata kerajaan dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman Dhaya Maju.

Keputusan itu kemudiannya diumumkan Wee di Facebooknya dan beliau berkata, projek ini akan dirunding semula melalui tender terbuka.

Kerajaan turut menafikan dakwaan syarikat itu terhadap Wee sengaja menangguhkan pemeteraian kontrak rasmi dengan mereka.

Dhaya Maju LTAT juga mendakwa Wee meminta mereka menyerahkan sub-kontrak KVDT2 kepada sebuah “syarikat China” pada April tahun lalu.

“Kesimpulan yang dibuat Dhaya Maju terhadap menteri bertindak dengan niat jahat adalah tidak berasas,” kata kerajaan.

Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan dan Wee atas dakwaan surat penamatan kontrak KVDT2 tidak dihantar kepada mereka, seperti yang dikehendaki mengikut syarat.

Syarikat itu berkata, kerajaan tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak itu atas alasan “kepentingan awam”.

Selain kerajaan dan Wee, syarikat itu menamakan firma perundingan, Opus Consultants dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam saman itu.

Dhaya Maju LTAT juga berkata, Wee mempunyai niat “tersembunyi dan tidak wajar” untuk menamatkan kontrak mereka.

Kandungan itu didedahkan bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook di Dewan Rakyat, di mana beliau mendesak Wee memberitahu kebenaran berhubung dakwaan itu.

Wee berkata, beliau “tidak takut” dan mencabar Loke mengulangi kandungan itu di luar Dewan Rakyat.

Kerajaan berkata, syarikat itu memfailkan satu lagi saman terhadapnya di Mahkamah Tinggi lain pada September 2020.

“Jika mahkamah ini membenarkan injunksi terhadap Dhaya Maju LTAT, ia sama seperti memberikan satu lagi peluang kepada syarikat itu,” katanya dalam maklum balas terhadap permohonan injunksi Dhaya Maju untuk menghalang kerajaan menamatkan kontrak KVDT2.

Mahkamah sebelum ini menolak permohonan injunksi sementara syarikat itu dalam saman lain atas alasan “kerajaan dan pegawai-pegawainya tidak boleh dihalang daripada menjalankan tanggungjawab awam mereka”.

Dalam saman kedua ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Lim Chong Fong membenarkan injunksi sementara yang menghalang KTMB memasuki tapak projek Dhaya Maju LTAT. Mahkamah berkata, syarikat itu tidak perlu menyerah pemilikan tapak kerja, dari Pelabuhan Klang ke Jalan Kastam.

Bagaimanapun, ia memberikan akses terhad kepada kerajaan dan KTMB ke trek aktif bagi menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembaikan. Perintah itu kini dilanjutkan hingga 3 Mac.

Tetapi, perintah injunksi itu tidak membabitkan kerajaan atau Wee.

KVDT2 antara 101 projek, berjumlah RM6.61 bilion, yang didakwa kerajaan Perikatan Nasional di Parlimen baru-baru ini diberikan secara rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

-Free Malaysia Today-