2 Mac 2021

Kenyataan media Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong

Pinda Perlembagaan parti bukti MCA lebih segar

MCA kini menjadi sebuah parti yang lebih segar seiring perubahan landskap politik negara sejurus  mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung beberapa cadangan pindaan Perlembagaan MCA yang dibuat pada tahun 2019.

Sepertimana kenyataan media Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon semalam, RoS telah meluluskan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan parti MCA, antaranya berkaitan penyertaan Ahli Bersekutu (affiliate membership) dalam MCA. Pada Perhimpunan Agung MCA ke-66 yang diadakan pada 1 Disember 2019 lalu, MCA telah meminda perlembagaan parti bagi memantapkan kemasukan Ahli Bersekutu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dengan pindaan perlembagaan ini, jelas membuktikan MCA komited meneruskan ideologi pengasasnya, Tun Tan Cheng Lock supaya MCA kekal sebagai parti berasaskan kaum Cina yang memperjuangkan untuk semua rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa. MCA juga merupakan agen muhibah yang memurnikan masyarakat, sepertimana yang sering diungkapkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.   Melihat kepada situasi politik yang penuh dengan kebencian hari ini, MCA perlu dan akan terus berusaha menjalin serta memupuk perpaduan antara masyarakat majmuk di Malaysia.

Penyertaan Ahli Bersekutu ini sudah lama wujud kerana MCA menyedari penyokong dan pengundi MCA tidak hanya tertumpu kepada kaum Cina semata-mata. Bukti penyertaan Ahli Bersekutu ini sudah wujud sejak awal penubuhan parti MCA apabila seorang lelaki berbangsa India telah didaftarkan sebagai Ahli Bersekutu MCA.

Bagi cadangan menurunkan had umur minimum keahlian parti kepada 16 tahun, RoS memaklumkan bahawa ia sedang diteliti oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kami turut berharap agar pindaan ini diluluskan kerana MCA begitu komited memartabatkan peranan golongan muda. Penurunan had umur ini dapat meremajakan parti kerana MCA memerlukan idea, pandangan dan pendapat yang bernas daripada golongan muda ke arah menjadikan parti ini lebih baik untuk semua lapisan masyarakat.

-MCA online-