17 Julai 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng

Jagalah integriti Dewan Rakyat – Guan Eng wajar dikenakan tindakan atas tuduhan “wang GST dirompak”

Tindakan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof tidak merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan amat mengecewakan, dan merupakan satu langkah ke belakang dalam era “Malaysia Baharu” yang kononnya mempraktikkan nilai akauntabiliti.

Selain itu, keputusan Speaker untuk melarang penggunaan perkataan “perompak” juga dilihat sebagai tidak ikhlas, kerana hanya dilaksanakan selepas digesa ahli-ahli parlimen pembangkang.

Seseorang Speaker Dewan Rakyat haruslah bersikap adil dan berkecuali, dan tindakan Guan Eng yang menuduh BN “merompak” wang GST tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu memang tidak patut dan jika dibiarkan begitu sahaja, bakal menjejaskan maruah dan integriti Dewan Rakyat.

Lebih teruk lagi, Guan Eng masih enggan memohon maaf, sebaliknya masih mencari alasan untuk mempertahankan tuduhannya walaupun sudah disahkan bahawa tiada wang dicuri.

Sebenarnya, kelakuan dan tindakan Guan Eng ini bersifat “tuduhan jenayah”, dan sememangnya sudah cukup untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Oleh itu, ia memang tidak masuk akal mengapa Speaker masih cuba melindungi Guan Eng.

Tindakan disiplin harus diambil demi mempertahankan maruah dan integriti Dewan Rakyat, di samping menjadi pengajaran kepada ahli-ahli Parlimen lain supaya tidak menuduh sembarangan tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu.

Walaupun ahli-ahli Parlimen diberi imuniti untuk bercakap apa sahaja dalam Dewan Rakyat, tetapi ini tidak bermaksud bahawa hak ini boleh disalahgunakan, dan tidak harus diambil mudah.

Janganlah menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat melempar fitnah atau “taman permainan” untuk menunjukkan sikap kebudak-budakkan.

-MCA online-