Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menghentam pemimpin Pakatan Harapan kerana membisu tentang setiausaha politik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terbabit dalam perbicaraan rasuah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Wee dalam kenyataan berkata “sangat mengejutkan” tiada pemimpin PH yang berani membantah atau mengulas Muhammad Zahid Md Arip dibabitkan sebagai orang tengah dalam 9 daripada 10 pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap Isa pada Jumaat.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dikenakan 9 pertuduhan menerima rasuah RM3 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak pada harga RM160 juta.

Zahid, bekas pegawai khas Isa, didakwa mengutip wang itu bagi pihaknya.

Wee mengeluh walaupun peranan Zahid diperincikan dalam 9 daripada 10 pertuduhan terhadap Isa, Zahid tidak pun didakwa dan tidak dipecat.

Dr Mahathir sebelum ini mempertahankan Zahid, mengatakan dakwaan terhadap Zahid pada ketika ini hanya tuduhan.

“Mana suara orang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Gobind Singh Deo, Lim Guan Eng dan mereka yang mendakwa kerajaan PH mengamalkan ‘kedaulatan undang-undang’ dan kerajaan bersih?” katanya, merujuk kepada pemimpin kanan PH.

“Adakah semua pejuang kerajaan bersih sudah bisu kerana ada kepentingan dan kedudukan dalam kerajaan?”

-Free Malaysia Today-