18 Januari 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan 

Kembalinya Dr Mahathir, kembalilah kronisme!

Ketika Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri buat kali pertama, beliau dikritik oleh pihak pembangkang, termasuk pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, sebagai “bapa kronisme”. Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, MCA telah berulang kali memberi amaran bahawa kembalinya Dr Mahathir akan mengembalikan “Mahathirisme”, terutamanya kronisme.

Sekarang, selepas Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, kronisme sudah mula diamalkan semula seperti dijangka. Sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu, pelbagai isu telah berlaku yang disyaki ada kaitan dengan kronisme, termasuklah:

• Lima hari selepas PRU14, syarikat Opcom Holdings Ltd yang dikuasai anak Dr Mahathir, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir, telah diberi kontrak bernilai RM11.16 juta oleh Telekom Malaysia (TM).

• Pada bulan Ogos lepas, syarikat Petron yang anak sulung Dr Mahathir, Mirzan Mahathir menjadi pengarahnya, telah dilantik sebagai pembekal minyak petrol dan diesel kepada kenderaan rasmi kerajaan.

Selain daripada kontroversi pemberian kontrak kerajaan kepada syarikat yang ada kaitan dengan ahli keluarga Perdana Menteri atau menteri, terdapat juga isu pelantikan kroni-kroni sebagai ahli lembaga syarikat milik kerajaan (GLC). Ini jelas bercanggah dengan janji manifesto Pakatan Harapan.

Janji ke-22 Manifesto Pakatan Harapan jelas tertera bahawa hanya individu berkelayakan dan profesional serta bebas daripada pengaruh politik akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam GLC di peringkat pusat atau negeri. Akan tetapi, apa yang dapat diperhatikan adalah:

• Dr Mahathir melantik dirinya sebagai pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah.;

• Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memegang jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tetapi telah meletak jawatan;

• Pelantikan peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

• Pelantikan peguam Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara;

• Pelantikan peguam Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Sankara N. Nair sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia;

• Pelantikan ahli Parlimen DAP untuk Bentong, Wong Tack sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB);

• Pelantikan ahli Parlimen DAP untuk Klang, Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN);

• Pelantikan pengerusi PKR Perak, Datuk Muhammad Nur Manuty sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA);

• Pelantikan ahli Majlis Tertinggi PPBM, Akhramsyah Muammar sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA);

• Pelantikan ahli Majlis Tertinggi PPBM Profesor Datuk Dr Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal MARA (UniTEK);

Alasan yang diberi Pakatan Harapan untuk pelantikan politik tersebut adalah janji manifesto hanya menyatakan tiada lantikan politik dalam GLC, tidak melibatkan badan berkanun kerajaan. Persoalannya, pertama, bukankah Khazanah Nasional merupakan sebuah GLC? Kedua, apa yang penting bukanlah cara mereka mentafsirkan janji, tetapi adakah mereka betul-betul komited menegakkan prinsip dan semangat disebalik janji-janji mereka, iaitu untuk menolak amalan kronisme.

Sama ada pelantikan politik tersebut bercanggah dengan janji manifesto Pakatan Harapan, ia jelas bahawa terdapat elemen kronisme kerana jawatan-jawatan tinggi kerajaan diberi kepada ahli, wakil rakyat dan kaum kerabat mereka sebagai ganjaran politik. Tak kira apa alasan yang diberi, persoalannya, adakah mereka ini akan dilantik jika mereka bukan pemimpin atau kroni Pakatan Harapan?

Kemunculan semula kroni-kroni lama

Kerajaan baharu membawa kroni baharu. Selepas pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, munculnya kembali beberapa kroni lama yang kontroversi.

Semasa 1990an, Tun Dr Mahathir telah memberikan kontrak empangan Bakun, Sarawak yang bernilai RM21 bilion kepada syarikat Ekran yang dipegang Tan Sri Ting Pek Khiing tanpa melalui tender terbuka. Apabila projek tersebut gagal, Dr Mahathir telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelamatkan Ekran. Pek Khiing dikatakan penyokong tegar Tun Mahathir. Selepas PRU14 pula, dalam bulan kedua pentadbiran Dr Mahathir, Pek Khiing telah diberi kontrak bernilai RM30 bilion untuk sebuah projek pembangunan di Langkawi.

Seorang lagi ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun juga dianggap sebagai kroni Dr Mahathir. Umum menganggap bahawa kejayaan Tan dikaitkan dengan Tun Mahathir, anatara lain termasuklah pemberian hak mengendalikan Sports Toto pada tahun 1985 yang telah menjadi salah satu syarikat terawal diswastakan oleh kerajaan. Dalam krisis kehakiman, sebuah video bertajuk “Lingam Tape” telah merakamkan pengakuan Tun Mahathir bahawa beliau akan mengambil kira pendapat pihak luar dalam proses pelantikan hakim, termasuk Tan. Beritagempar ini membuktikan sekali lagi keakraban kedua-duanya.

Selepas PRU14, Dr Mahathir pada 12 Mei mengumumkan bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dikaji semula atas sebab kos yang terlalu tinggi. Akan tetapi, pada 25 Jun beliau membuat pusingan U dan berkata bahawa ECRL akan disambung jika syarat-syarat rundingan semula memanfaatkan Malaysia. Ia harus ditekankan bahawa sebelum itu pada 16 Mei, Tan telah menjadi pemegang saham utama T7 Global Bhd, iaitu sebuah syarikat yang ada kepentingan dalam projek ECRL. Keputusan kerajaan baharu mengenai ECRL yang kebetulan bertepatan dengan pengambalihan oleh Tan sangat mencurigakan.

Seorang lagi kroni Dr Mahathir adalah bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Pemimpin DAP Lim Kit Siang sebelum ini pernah membangkitkan skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1992 yang menyebabkan kerugian RM30 bilion, dan mendakwa Tun Mahathir dan Tun Daim antara yang bertanggungjawab. Selepas PRU14 dan kembalinya Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Tun Daim telah dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan baharu.   

Pada tahun 2015, ADUN DAP untuk Kranji, Chong Zhemin telah membuat laporan meminta SPRM menyiasat dakwaan bahawa Tun Mahathir memiliki harta bernilai RM1.194 trilion di luar negara, dan meminta Tun Mahathir menjelaskan sumber harta tersebut. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepada Zhemin jika beliau masih berminat mengejar kebenaran simpanan seberang laut ini? Atau adakah beliau terlalu takut dan terpaksa berdiam diri selepas menjadi kerajaan, dan Tun Mahathir pula menjadi bosnya?

Cameron Highlands digesa untuk mengundi menolak kronisme

Pada perhimpunan agung tahunan PPBM, Naib Presidennya Tan Sri Abdul Rashid telah meminta kerajaan memberi kontrak kepada ketua-ketua bahagian parti untuk memastikan PPBM terus menang dalam PRU seterusnya. Sehari sebelum hari penamaan calon PRK Cameron Highlands minggu lepas, seorang pemimpin PKR telah mengugut melucutkan jawatan dan memotong gaji tok batin Orang Asli jika mereka tidak menyokong Pakatan Harapan.  

Perbuatan kronisme ini, dan penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mengugut para pengundi bukan sahaja mempersendakan rakyat tetapi juga sistem demokrasi itu sendiri, amat memalukan. Oleh itu, saya menyeru kepada pengundi-pengundi Cameron Highlands supaya menolak kronisme Pakatan Harapan!

-MCA online-