18 Januari 2019

Kenyataan Akhbar Naib Presiden MCA, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker

Belum puaskah Pakatan Harapan mengugut penduduk Cameron Highlands?

Selepas senator PKR Bob Manolan mengugut orang Asli untuk melucutkan jawatan dan menafikan gaji tok batin Orang Asli, kini pula giliran Menteri Kewangan Lim Guan Eng terus membuli rakyat Cameron Highlands.

Guan Eng telah mengatakan pembangunan di Cameron Highlands tidak dapat dijalankan jika pengundi tidak memilih calon DAP M.Manogaran.

Setelah Guan Eng membatalkan beberapa projek yang memanfaatkan Rakyat, kini pula beliau mengugut menafikan dana untuk tujuan pembangunan kawasan Cameron Highlands sekiranya penduduk memilih calon BN dari kalangan orang Asli.

Ironinya pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini pernah mengecam bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak kerana berkata “I help you, you help me” semasa pilihan raya kecil Sibu pada tahun 2010. Nampaknya selepas menjadi kerajaan, Pakatan Harapan telah lupa dan mengabaikan prinsipnya.

Adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk memastikan pembangunan dijalankan di setiap negeri, termasuk di kawasan pembangkang demi kepentingan rakyat. Tindakan mengabaikan kawasan pembangkang, ataupun menafikan dana pembangunan, adalah berhipokrit dan tidak bertanggunjawab dan tidak selaras dengan “Malaysia Baharu” yang dipilih rakyat.

Ini amat jelas apabila menteri-menteri Pakatan Harapan berpusu-pusu datang ke Cameron Highlands untuk menjanjikan pelbagai bantuan dan projek-projek tempatan dua minggu sebelum hari penamaan calon, seperti berikut:

  • 3 Januari: Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Wan Azizah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy berjanji mewujudkan pelan pembangunan masyarakat Orang Asli yang menyeluruh.
  • 5 Januari: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berjanji menwujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu pencerobohan tanah dan menambah baik penguatkuasaan berkaitan tanah.
  • 6 Januari: Menteri Sumber Manusia Kulasegaran berjanji mengkaji semula isu hak milik tanah sementara, dan untuk mencari penyelesaian bagi isu dasar pengambilan pekerja asing.
  • 7 Januari:  Menteri Pengangkutan Anthony Loke berjanji pemberian diskaun 90% bagi lesen kenderaan khas (LKM-CH) akan disambungkan selepas ia tamat tempoh pada tahun 2021, dan juga mengkaji kebolehlaksanaan pengusaha pelancongan menggunakan kereta pacuan empat roda untuk membawa pelancong.  

Adakah Guan Eng memberi tekanan ataupun “exert undue influence” supaya pengundi mengundi calon DAP dengan menyalahgunakan kuasa pada kerajaan?

Belum lagi kerajaan Pakatan menunaikan janji-janji PRU14 , kini pula janji-janji kosong ditaburi sekali lagi di gunung Cameron Highlands?

Adakah kerajaan Pakatan Harapan akan membuat pusingan U sekali lagi sepertimana yang dibuat dengan janji-janji Manifesto mereka? Adakah Guan Eng akan menyalahkan pengundi Cameron Highlands dan kerajaan terdahulu BN apabila dimarahi rakyat kerana membatalkan projek-projek yang dijanji pada rakyat atau atas kegagalan penunaian janji mereka nanti?

Cukuplah Pakatan Harapan menghukum dan menyusahkan Rakyat yang tidak berdosa.

Rakyat dan negara sudah cukup menderita dengan janji-janji palsu Pakatan seperti penghapusan GST akan menurunkan harga, penghapusan TOL dan sebagainya.

Pakatan dan DAP khususnya haruslah hentikan penderitaan dan kesengsaraan rakyat dengan menghentikan agenda dendam mereka. Mulalah mentadbir negara ini dengan baik dan buanglah “mindset” pembangkang dan dendam mereka. MCA mengingatkan kerajaan Pakatan supaya bersungguh menggalaskan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan dengan menumpu pada agenda pembinaan dan bukannya pembinasaan demi rakyat jelata tanpa mengambil kira bangsa, agama ataupun kecenderungan politik kepartian.

-MCA online-