Ugutan-ugutan ini didapati tidak selaras dengan konsep Malaysia baharu yang dipilih oleh rakyat.

Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, selain mengugut, pemimpin-pemimpin berkenaan juga sibuk memberi janji kosong kepada pengundi-pengundi PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Belum puaskah PH mengugut penduduk Cameron Highlands? Selepas senator PKR, Bob Manolan mengugut Orang Asli untuk melucutkan jawatan dan menafikan gaji tok batin, kini pula giliran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terus membuli rakyat Cameron Highlands.

“Guan Eng telah mengatakan pembangunan di Cameron Highlands tidak dapat dijalankan jika pengundi tidak memilih calon DAP, M. Manogaran. Setelah Guan Eng membatalkan beberapa projek yang memanfaatkan rakyat, kini pula, beliau mengugut menafikan dana untuk tujuan pembangunan kawasan Cameron Highlands sekiranya penduduk memilih calon Barisan Nasional dari kalangan orang Asli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Lian Ker, menteri-menteri PH berpusu-pusu datang ke Cameron Highlands untuk menjanjikan pelbagai bantuan dan projek-projek tempatan dua minggu sebelum hari penamaan calon.

“Belum lagi PH menunaikan janji-janji Pilihan Raya Umum ke-14, kini pula janji-janji kosong ditaburi sekali lagi di Cameron Highlands.

“Adakah kerajaan Ph akan membuat pusingan ‘U’ sekali lagi sepertimana yang dibuat dengan janji-janji Manifesto mereka?,” ujarnya.

Menurut Lian Ker, PH dan DAP haruslah menghentikan penderitaan dan kesengsaraan rakyat dengan menghentikan agenda dendam mereka.

Katanya, kerajaan dinasihatkan mentadbir negara ini dengan baik dan membuang pemikiran pembangkang dan dendam mereka.

“MCA mengingatkan kerajaan PH supaya bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan dengan menumpu pada agenda pembinaan dan bukannya pembinasaan demi rakyat jelata tanpa mengambil kira bangsa, agama ataupun kecenderungan politik kepartian,” jelasnya.

- Utusan Online-