Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng (18 Februari 2019)

Kekalkan status LTA Pulau Pinang sebagai LTA tunggal di utara Semenanjung

Kerajaan digesa mengekalkan status Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebagai hab pengangkutan udara utama di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan memastikan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang bakal dibina berfungsi sebagai pelengkap kepadanya.

Ini kerana Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli, dan bergantung berat kepada pembangunan industri elektronik, perkhidmatan dan pelancongan sebagai sumber pendapatan melalui LTAPP dan statusnya sebagai pusat ekonomi dan logistik di Utara. Oleh itu, kerajaan negeri harus mempertahankan status Pulau Pinang sebagai satu-satunya LTA di sana.

MCA tidak membantah pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Kulim, tetapi mencadangkan bahawa ia digunakan sebagai hab kargo dan pengangkutan domestik sahaja.    

Tambahan pula, Kedah kini sudah memiliki dua lapangan terbang di Langkawi dan Alor Setar. Pembinaan sebuah lagi lapangan terbang di Kulim yang hanya 60km dari Pulau Pinang belum tentu lagi akan membawa manfaat.

Ia amat mengejutkan apabila kerajaan pusat memilih untuk membina sebuah lapangan terbang baharu dan bukannya menaik taraf lapangan terbang yang sedia ada di Langkawi dan Alor Setar, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Pakatan Harapan mendakwa negara sedang menghadapi masalah kewangan. 

Pulau Pinang memiliki kelebihan dari segi kedudukan geografinya di Utara, dan statusnya sebagai hab ekonomi wilayah utara memang tidak boleh dinafikan.

Atas sebab ini, kerajaan disaran mengekalkan status LTAPP sebagai satu-satunya LTA di Utara, dan lapangan terbang Kulim pula sebagai pelengkap kepadanya, demi memastikan periuk nasi penduduk Pulau Pinang tidak terjejas.

Sehubungan itu, keadaan semasa LTAPP juga tidak lagi berdaya maju. Pada tahun lepas, ia telah mencapai jumlah penumpang sebanyak 7.78 juta walaupun direka untuk menampung 6.15 juta penumpang setahun. Ini membuktikan kepentingan LTAPP dan keperluannya untuk dinaiktaraf dan dibesarkan.     

Kerajaan pusat harus berunding dahulu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah kerana pembinaan sebuah lapangan terbang di Kulim bakal memberi kesan kepada pembangunan LTAPP, dan ini secara langsung akan menjejaskan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi dan logistik di Utara, dan menjejaskan pendapatan negeri. 

Kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pulau Pinang digesa bekerjasama membangunkan dan membesarkan LTAPP yang sudah terlebih kapasitinya supaya LTAPP mampu memainkan peranan yang lebih baik dalam pembangunan ekonomi negara. Kementerian Pengangkutan juga harus berusaha menghubungkan LTAPP dengan lapangan terbang baharu di Kulim untuk memain peranan sebagai penggerak ekonomi.    

-MCA online-