18 April 2019

Kenyataan akhbar Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Prestasi pasaran saham Malaysia antara terburuk dunia, PM, Menteri Kewangan patut dipertanggungjawabkan

Walaupun Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sentiasa mengatakan ekonomi negara adalah stabil, hakikatnya tidaklah begitu. Selasa lepas, Bloomberg melaporkan, tatkala pasaran saham dunia secara umumnya menampakkan peningkatan, Bursa Malaysia pula tersisih dan menjadi pasaran saham antara yang terburuk di dunia!

Mengikut laporan, terdapat pakar pasaran yang berpendapat, trend yang mengecewakan ini berkemungkinan akan terus berlarutan sehingga tahun depan. Ini amat membimbangkan rakyat jelata.

Ramai yang pernah mengingatkan Lim Guan Eng, malah Tun Daim Zainuddin pernah menasihatkannya supaya tidak bercakap sebarangan, senang-senang mendakwa hutang negara setinggi RM1 trilion tanpa asas yang kukuh, malangnya Guan Eng langsung tidak mengendahkannya.

Walaupun suatu ketika dahulu, apabila Guan Eng mengutuk Barisan Nasional, ‘hutang bertrilion’ dari mulutnya mendapat tepukan, tetapi beliau yang masih menjaja dakwaan yang sama untuk mendapat publisiti murah kini berdepan dengan akibat yang yang buruk, dan rakyat serta masa depan negara terheret sama.

Setelah mengambil alih kuasa, kerajaan Pakatan Harapan hanya melaporkan berita baik dan menyembunyikan berita yang kurang baik, dengan niat mahu memutar-belitkan statistik untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi prestasi pasaran saham adalah cermin yang paling baik. Ternyata tidak ramai yang masih mempercayai statistik yang diumumkan oleh kerajaan. 

Sebelum ini, kerajaan PH dengan senang boleh menyalahkan ‘senario antarabangsa’ mengakibatkan kegawatan ekonomi negara, tetapi apabila keadaan sedunia sedang bertambah baik, malah rundingan China-Amerika Syarikat juga semakin menampakkan kemungkinan penyelesaian secara baik, namun Bursa Malaysia tetap melawan arus peningkatan pasaran saham dunia, siapakah yang patut dipertanggungjawabkan?

Apa yang menyedihkan, kerajaan PH tidak menggariskan hala tuju ekonomi dan tidak mempunyai pelan tindakan pembangunan, dan keadaan diburukkan lagi dengan menteri-menterinya yang suka cakap melepas, mengakibatkan pelabur-pelabur asing hilang keyakinan seterusnya menarik diri dari Malaysia.

Pelabur asing sangat realistik, mereka melihat dengan mata sendiri masa depan negara, bukan mendengar cerita kosong pak menteri.

Yang anehnya, pakar-pakar ekonomi DAP yang amat menyerlah sebelum ini, semuanya membisu seribu bahasa. Masa depan ekonomi yang malap menjejaskan kehidupan rakyat. Kerajaan PH wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Ia amat melucukan sekiranya ketika hampir setahun memerintah, PH masih menyalahkan kerajaan terdahulu atas ketidakcekapan pentadbiran dirinya sendiri.

-MCA online-