18 April 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Pakatan wajar ambil berat tekanan hidup rakyat, pulih ekonomi

Kerajaan Pakatan Harapan digesa supaya mengambil berat tekanan hidup yang dihadapi rakyat dan mengambil langkah serta-merta untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing sambil menganjurkan dialog dengan pihak-pihak berkaitan industri dan perniagaan sebagai dasar dan langkah praktikal untuk merangsang ekonomi negara.

Walaupun sudah hampir setahun mentadbir, kerajaan Pakatan Harapan masih mengamalkan taktik politik yang lama, iaitu untuk menyalahkan kerajaan BN sebagai alasan untuk memungkiri janji. Akan tetapi, penarafan ekonomi negara dibuat badan-badan antarabangsa yang tidak mudah dipengaruhi politik, tetapi membuat keputusan berdasarkan data dan fakta.   

Sementara pasaran saham negara-negara lain mencatat peningkatan, hanya pasaran Malaysia yang mencatat penurunan. Sejak bulan Mei tahun lepas, FBM KLCI telah susut 14%, dan pakar-pakar ekonomi telah menggambarkan situasi ekonomi negara akan menjadi semakin lembap; malah FTSE Russell juga dikatakan mungkin menggugurkan bon Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Global. Ini semua adalah tanda-tanda bahawa pelabur-pelabur asing telah kehilangan keyakinan terhadap Pakatan Harapan.

Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, Pakatan tidak boleh lagi bergantung kepada politik populisme, sebaliknya perlu menampilkan imej sebagai sebuah kerajaan yang matang dan komited terhadap janji-janjinya, bukannya dengan sewenang-wenang membuat pusingan U ataupun memungkiri janji, sebaliknya berusaha mengekalkan hubungan mesra dengan negara-negara lain demi mengembalikan keyakinan pelabur asing.    

Selain itu, kerajaan juga disaran mengambil inisiatif untuk mengadakan dialog dengan dewan-dewan perniagaan demi mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sektor perniagaan, di samping mengkaji kemungkinan pemberian bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukannya dengan tujuan merangsang pasaran domestik dan menggalakkan kitaran ekonomi. 

Jikalau Pakatan Harapan sanggup mengambil langkah pragmatik dan berhenti bermain politik, negara pasti mampu mengharungi cabaran kelembapan ekonomi ini.

-MCA online-