18 Julai 2018

Kenyataan Media Ketua Biro Publisiti MCA, Senator Dato’ Chai Kim Sen

Kerajaan disaran menjelaskan butir-butir SST, memastikan tiada peningkatan harga barangan

Kerajaan Pakatan Harapan digesa memastikan bahawa harga barangan tidak akan meningkat susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 kerana ia mampu menambahkan beban kewangan rakyat.

Kerajaan baharu juga bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat butir-butir pelaksanaan cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6% secepat mungkin. Pemahaman yang menyeluruh ini diperlukan untuk memastikan bahawa rakyat berupaya mempertahankan hak mereka sebagai pengguna.

Sebelum ini, Pakatan Harapan sering melempar dakwaan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar 6% oleh BN adalah punca kenaikan harga barangan dan meyusahkan rakyat. Akan tetapi, langkah kerajaan melaksanakan kadar sifar GST tidak pun menampakkan penurunan harga barangan, ataupun meringankan beban rakyat. Sebaliknya, sepertimana yang diumumkan Menteri Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna Dato’ Saifuddin Nasution sendiri, hanya 70% barangan mencatat penurunan harga. 

Ini jelas membuktikan bahawa GST bukanlah sebabnya peningkatan harga barangan, kerana pengumuman kadar sifar GST tidak mencatat penurunan harga barangan merentas pasaran. Sebaliknya, peningkatan harga disebabkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang telah menjadikan para pengguna sebagai mangsa.

Dengan ini, MCA menggesa KPDNKK supaya berhenti mengalihkan tanggungjawab menurunkan harga barangan kepada para peniaga. Sebaliknya, kerajaan patut menumpukan usaha kepada penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan harga barangan.

MCA berharap kerajaan Pakatan Harapan akan mengumumkan cara pengiraan SST secepat mungkin untuk membolehkan rakyat memahami butir-butir SST dan impaknya ke atas kehidupan mereka, serta membantu para peniaga memahami cara pelaksanaannya yang betul. Ini secara langsung akan mewujudkan sistem percukaian yang telus, serta persekitaraan perniagaan yang adil. Tanggungjawab kerajaan pula adalah untuk memastikan bahawa harga barangan tidak akan meningkat susulan pelaksanaan SST.

Senator Dato’ Chai Kim Sen
Ketua Biro Publisiti MCA

-MCA online-