Kenyataan media Pengerusi Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA Dr Tee Ching Seng (17.09.2020)

Sabah merupakan sebahagian dari tanah Malaysia, oleh itu Malaysia tidak perlu mengadakan apa-apa perundingan mahupun perbicaraan antarabangsa dengan Filipina. Tindakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong membidas Menteri Luar Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein, tidak lebih dari hendak memperalatkan isu kedaulatan wilayah dan diplomasi ini demi mengaut keuntungan politik, tidak ubah kelakuan seorang badut.

Cadangan Ketua Menteri Sabah Dato’ Shafie Apdal untuk berunding dengan Filipina berhubung kedaulatan Sabah, membayangkan pengiktirafan tuntutan kerajaan Filipina terhadap Sabah. Apabila cadangan itu disangkal oleh Hishamuddin, Chin Tong pula mengecamnya dan meminta Hishamuddin meletakkan jawatan. Demi keuntungan politik, Chin Tong sanggup membelakangkan prinsip mempertahankan kedaulatan negara. Nasib baik beliau bukan lagi Timbalan Menteri Pertahanan, dan Pakatan Harapan tidak lagi memerintah, kalau tidak tentunya kedaulatan Sabah goyang sekarang.

Pendirian Menteri Luar amat jelas, iaitu Sabah merupakan bahagian mutlak Malaysia. Tidak ada keperluan untuk kita berunding dengan Filipina, malah kita tidak perlu mempedulikan tuntutan mereka. Pendirian beginilah yang benar-benar mempertahankan kedaulatan negara, kesempurnaan wilayah dan kepentingan rakyat.

Kita percaya rakyat seluruh Malaysia yang sayangkan Sabah sanggup bermati-matian mempertahankan kesempurnaan wilayah demi maruah negara. Malangnya Shafie mahu berunding pula.

Dalam isu diplomasi ini, Chin Tong sepatutnya mengambil pendirian yang sama dengan seluruh rakyat Malaysia, bukannya memperalatkan topik ini untuk membangkitkan pertikaian politik dalam negara. Beliau dikira tidak layak menjadi seorang anggota Dewan Negara sekiranya tergamak mempolitikkan isu kedaulatan negara.