Lebih banyak projek perumahan mampu milik akan dilaksanakan di daerah ini sama ada menerusi kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri Pahang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelaksanaan projek perumahan mampu milik menjadi keutamaan kerajaan kerana ia merupakan keperluan dan projek yang mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

Sebagai contoh, Liow yang juga penyandang kerusi Parlimen Bentong merujuk kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di Sungai Dua di sini, yang dilaksanakan kerajaan negeri Pahang.

"Projek ini melibatkan pembinaan 28 unit rumah dua tingkat berharga RM135,000 dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dijadualkan siap pada tahun depan.

"Hanya 28 unit dapat dibina di sini kerana tapak tanah seluas 0.7284 hektar dahulunya merupakan bekas kilang papan. Tapi kita akan mencari tanah sesuai untuk projek seterusnya," katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek itu di sini semalam. 

Tiong Lai berkata projek PR1MA Sungai Dua yang dilaksanakan oleh Penamin Sdn Bhd adalah projek keempat seumpamanya di Bentong, iaitu selepas perumahan di Pelangai, Karak Setia dan Chamang.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga aka melaksanakan projek perumahan kos sederhana di daerah ini, melibatkan pembinaan 500 unit rumah yang dijadualkan bermula tahun ini.

-Bernama-