19 April 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Cukai baharu untuk melindungi projek kereta nasional ketiga?

Pengenaan cukai baharu oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap kereta import terpakai adalah tidak wajar, terutamanya selepas kelulusan dua cukai baharu di dalam Dewan Raykat baru-baru ini, iaitu levi pelepasan dan cukai minuman bergula.

Cukai baharu ini dilaporkan telah pun berkuat kuasa sejak 1 Mac lalu, dengan mengenakan kadar di antara 20% hingga 39% mengikut model kereta import terpakai tersebut.

Kerajaan perlu menjelaskan jika pelaksanaan cukai baharu ini adalah langkah pertama dalam pelaksanaan dasar untuk melindungi projek kereta nasional ketiga, sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri buat pertama kali dahulu?

Kerajaan PH perlu diingatkan bahawa ia telah memberi jaminan pada tahun lepas tidak akan menggunakan wang rakyat untuk projek kereta nasional ketiga, namun pada bulan Mac lepas Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membangunkan prototaip berkenaan.

Apakah niat sebenar kerajaan masih mahu membebankan rakyat untuk merealisasikan impian peribadi Perdana Menteri, walaupun menerima bantahan pelbagai pihak? 

Dalam keadaan ekonomi negara yang merudum, ditambah pula dengan prestasi nilai mata wang Ringgit yang merosot sehingga dilabel sebagai “terburuk di Asia”, kerajaan sepatutnya mengambil langkah meliberalisasikan ekonomi negara dalam usaha menarik balik pelabur asing, bukannya mengejar kepuasan individu.

Tindakan mengenakan kawalan ketat ke atas barang-barang import, seperti kereta, sudah tentu menjejaskan industri automobil negara, dan menidakkan rakyat pilihan untuk memiliki kereta import kerana harga yang terlalu mahal. Ini secara langsung akan menyebabkan pelabur-pelabur asing menarik diri dari Malaysia.    

-MCA online-