19 April 2019

Kenyataan Media Naib Presiden Datuk Tan Teik Cheng

Siapakah yang akan untung daripada projek penambakan laut?

Walaupun menerima tentangan hebat dari pelbagai pihak, termasuk persatuan-persatuan pengguna dan parti-parti pembangkang, namun kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang masih degil melaksanakan Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) tanpa mengendahkan impaknya terhadap alam persekitaran dan golongan nelayan.

Oleh itu, ia mesti ditanya, siapakah yang bakal menerima untung daripada projek ini?

MCA Pulau Pinang kecewa, dan membantah keputusan Pakatan Harapan meluluskan projek menebus guna kawasan 4,500 ekar tersebut atas sebab bahawa ia bakal menjejaskan ekosistem persisiran pantai dan hidupan marin, termasuk mata pencarian para nelayan di kawasan tersebut.   

Tambahan pula, beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut mendakwa bahawa penambakan laut akan memberi impak signifikan dari segi kewangan, sosial dan alam persekitaraan. Oleh itu, ia memang menghairankan mengapa kerajaan Pakatan Harapan masih degil meneruskan projek tersebut.

Jika projek tersebut tidak memanfaatkan rakyat, maka siapakah yang akan untung jika projek ini dilaksanakan?

Sebelum menjadi kerajaan, Pakatan Harapan sering menekankan isu-isu perlindungan alam sekitar, seperti isu kilang nadir bumi Lynas, pencemaran sianida Bukit Koman, dan membantah perlombongan bauksit; tetapi sekarang kesemua isu di atas diluluskan, atau didakwa selamat, secara tiba-tiba. Hari ini, kita melihat kilang Lynas masih dibenarkan beroperasi, moratorium perlombongan bauksit diangkat, dan perlombangan emas di Bukit Koman diumum bebas dari pencemaran sianida. Ia jelas dilihat bahawa isu-isu tersebut telah dipolitikkan semata-mata untuk mengaut undi sahaja.      

Kini, projek PSR dilihat sebagai contoh terbaru hipokrisi Pakatan Harapan.

-MCA online-