Ketua Wanita MCA Johor  Wong You Fong diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Presiden MCA Liow Tiong Lai membuat pengumuman itu ketika melawat Bilik Gerakan MCA Bahagian Pulai, di sini.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian Tee Siew Kiong.

Wong yang juga Timbalan Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan berkata beliau yakin dapat merampas semula kerusi itu berikutan kerjasama baik antara parti-parti komponen BN di kawasan berkenaan.

“Kita hanya tewas kecil di kerusi ini pada PRU13 lalu, tapi kali ini kami yakin untuk merampasnya kembali.

“Kerjasama yang baik antara MCA dan Umno menerusi Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed akan memberi manfaat kepada pengundi di kawasan ini,” katanya.

DUN Perling yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Pengkalan Rinting disandang DAP menerusi Cheo Yee How yang menewaskan calon MCA Chang Mei Kee dengan majoriti 1,970 undi pada PRU13.