24 November 2019

Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai How

Program Malaysia@Work hanya penyelesaian jangka masa pendek

Peruntukan RM6.5 bilion untuk program Malaysia@Work yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk belia kerana ia hanya berpaksikan kepada pemberian insentif dan subsidi. Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak ikhlas menyelesaikan masalah ini dan langsung tidak mengambil kira pandangan dan cadangan rakyat.

Walaupun pelbagai cadangan telah diberi oleh persatuan pekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun kesemuanya tidak diendahkan ataupun ditolak oleh kerajaan.

Sebaliknya, penekanan harus diberikan kepada latihan industri dan peningkatan kemahiran sebagai penyelesaian jangka masa panjang untuk membantu belia mencari pekerjaan. 

Kerajaan Pakatan Harapan juga digesa merujuk kepada dasar-dasar kerajaan terdahulu yang menggalakkan rakyat mempelajari kemahiran baharu supaya mereka boleh memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, seperti MyBrain, SL1M dan lain-lain lagi yang menggalakkan belia melanjutkan pelajaran mereka.

Pemberian insentif dan subsidi oleh kerajaan baharu hanya penyelesaian jangka masa pendek kerana ia bakal menjadikan belia terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, dan sekiranya bantuan ini ditarik balik, maka mereka akan kehilangan kerja sekali lagi.

Oleh itu, ia amat mengecewakan, terutamanya kepada belia, kerana program Malaysia@Work tidak menyediakan latihan dan peluang untuk melalui latihan industri dan program meningkatkan kemahiran.

Ia jelas dilihat bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah gagal memahami punca utama kadar pengangguran tinggi di kalangan belia, yang termasuk kegagalan memenuhi permintaan pasaran, kekurangan kemahiran bekerja dan permintaan gaji yang terlalu tinggi. Adakah kerajaan yakin bahawa pemberian elaun untuk setahun dua mampu menyelesaikan masalah sebesar ini?

-MCA online-