MCA meluahkan kebimbangan berhubung pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menyediakan subsidi buat isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang tinggi.

Timbalan Bendahari MCA, Datuk IR Lawrence Low berkata, pasti terdapat beberapa cara untuk menanganinya dan turut menggariskan beberapa cadangan berhubung keputusan kerajaan tersebut.

Dalam masa sama, Lawrence tidak menafikan kepentingan dalam mempromosikan langkah-langkah penjimatan tenaga dikalangan masyarakat dan menyokong idea untuk menggalakkan isi rumah menjimatkan tenaga elektrik. Namun, beliau turut menekankan keperluan untuk melaksanakan pendekatan yang lebih teliti dan komprehensif dalam penggunaan elektrik yang tinggi.

"Adalah penting untuk mempertimbangkan beberapa faktor yang berkait dengan isu ini seperti saiz keluarga, tahap pendapatan, kemampuan dan keadaan iklim global untuk mengelakkan pendekatan "pukul rata"", kata Lawrence.

Adalah rumit untuk menentukan tahap penggunaan elektrik yang tinggi dalam sesebuah isi rumah. Namun, Lawrence menegaskan pasti sesebuah isi rumah itu mempunyai sebab tertentu berhubung perkara tersebut termasuklah saiz rumah yang besar, keperluan perubatan ahli keluarga yang sakit, atau menggunakan peralatan elektronik yang sudah lama.

Bagi menangani kebimbangan ini, beliau mengesyorkan agar kerajaan menjalankan kajian menyeluruh berkaitan corak penggunaan elektrik isi rumah merentasi pelbagai kumpulan pendapatan, saiz keluarga dan kawasan tertentu di negara ini.

"Kajian ini akan membantu mewujudkan corak penggunaan khusus untuk setiap kumpulan sekali gus membolehkan pelaksanaan dasar yang lebih berkesan."

Untuk menggalak dan mendidik orang ramai dalam amalan kecekapan tenaga, Lawrence mencadangkan agar penganjuran aktiviti berunsur pendidikan dan menawarkan rebat cukai dilakukan. Selain itu, melalui kempen juga, masyarakat akan lebih terdedah mengenai langkah penjimatan tenaga yang betul dan faedah yang akan diterima jika menggunakan peralatan mesra alam.

"Insentif cukai boleh menggalakkan individu membeli peralatan elektrik jimat tenaga, menggalakkan kitar semula dan mengurangkan peralatan elektrik yang menggunakan kuasa tinggi di pasaran. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan elektrik isi rumah tetapi juga memastikan kualiti hidup rakyat terpelihara," katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk terus melabur dalam sumber tenaga boleh diperbaharui (RE). Ia mampu meningkatkan ketersediaan pilihan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil tetapi juga menyediakan isi rumah dengan alternatif elektrik yang mampan dan mampu milik.

Beliau percaya dengan mengamalkan pendekatan menyeluruh, kerajaan boleh melaksanakan dasar subsidi elektrik dengan jayanya di samping menjaga kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Datuk IR Lawrence Low
Timbalan Bendahari MCA
18 Mei 2023

- MCA Online