18 September 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting

Menteri tak tahu mengenai projek bernilai RM450 juta?

Dalam isu surat tular di media sosial yang dikatakan ditandatangani oleh Menteri Kewangan, ia dilaporkan bahawa sebuah projek bernilai RM450 juta telah diluluskan melalui rundingan terus. Lim Guan Eng pula cuba mengelak tanggungjawab apabila enggan mengakui jika beliau yang menandatangani surat tersebut. Sikap ini tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

Bagaimanakah Guan Eng tidak sedar akan projek sebesar ini?

Sementara Guan Eng memikirkan alasan yang baik, pihak polis dan SPRM digesa memulakan siasatan jika adanya penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak tersebut. 

Rakyat perlu tahu jika surat tersebut benar atau tidak, dan adakah Menteri Kewangan tahu akan projek berkenaan. Ini kerana seorang Menteri harus sedar akan projek-projek yang diluluskan kementeriannya, dan ia juga harus dijelaskan jika pegawai-pegawai kementerian berkuasa meluluskan projek tanpa pengetahuan menteri, terutamanya apabila ia melibatkan jumlah wang yang besar.

Seseorang menteri menggalas tanggungjawab berat untuk mengurus dan mentadbir kementeriannya, dan dalam kes ini, memastikan wang rakyat digunakan dengan betul. Jika menteri tersebut tidak mampu menjalankan tugasnya, terutama lagi apabila ia berlaku dalam kementeriannya, ia mengkhianati mandat dan kepercayaan rakyat.

Apabila disoal media, Guan Eng pula tidak berani mengaku jika beliau sendiri yang menandatangani surat tersebut, dan sebaliknya cuba mengalih perhatian dengan menyatakan bahawa terdapat banyak pegawai yang dibenarkan menandatangani dokumen.

Kami sudah boleh meramalkan jawapan yang bakal diberi Menteri Kewangan nanti, antaranya “projek itu dilulus BN”, atau “ia keputusan Kabinet”, atau “ia bukan pendirian peribadi saya”, ataupun “tanya Perdana Menteri”.  

Apa pun jawapan menteri, kami berharap bahawa pihak polis dan SPRM akan menjalankan tugas merek dan menyiasat kes ini dari aspek yang betul, iaitu meneliti isi dan konteks surat berkenaan, dan bukannya menyiasat siapa yang mendedahkan surat tersebut.

-MCA online-