MCA menghentam “sikap acuh tak acuh” kerajaan Pulau Pinang terhadap Shahul Hamid, selepas seorang exco berkata pengetua tahfiz itu dibenarkan mengajar selagi tidak menyesatkan dan menyalahi akidah.

Pengerusi Biro Keharmonan Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata video Shahul yang memaparkan pengetua tahfiz itu menyampaikan kuliah yang memecahbelahkan rakyat perlu dijawab dengan tindakan tegas, sejajar dengan pendirian Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau memberi perhatian kepada kenyataan Exco Hal Ehwal Islam Abdul Malik Kasim yang berkata isu tauliah Shahul tidak berbangkit, kerana kerajaan Pulau Pinang tidak perlukan tauliah seperti kerajaan Barisan Nasional.

“Apakah respon kerajaan dalam perkara ini sama dengan membolehkan Talibanisme di Pulau Pinang?” kata Ti dalam kenyataan hari ini.

“Apakah ketua menteri Pulau Pinang menunggu gabenor mengecam orang seperti Shahul secara terbuka atau menunggu masa untuk menyalahkan Umno atau MCA?”

Malik semalam mempertahankan hak pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib untuk menyatakan pandangan yang mengundang kecaman pengguna sosial selepas beberapa klip rakaman ceramah beliau dilaporkan FMT.

Shahul dalam ucapan yang dimuat naik antara 2015 dan bulan lalu mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, di samping mengharamkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam.

Beliau juga menganggap budaya mengucapkan “Selamat Hari Jadi” sebagai jahiliah, dan tidak setuju dengan amalan menjawab telefon dengan perkataan “Hello”.

Semalam ketika dihubungi FMT, Malik mengelak daripada mengesahkan sama ada Shahul mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah agama, namun menegaskan kenyataan Shahul itu bertentangan dengan akidah Islam.

“Kenyataan exco Abdul Malik Kasim tidak munasabah dan menunjukkan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP terdesak untuk memancing undi ‘puak Taliban’ selepas PAS meninggalkan mereka,” kata Ti.

“Lim Guan Eng selaku ketua menteri mesti menegur exco itu atau sekurang-kurangnya berucap dan menyatakan pendirian tentang perkara itu.”

Undang-undang dan peraturan negeri mewajibkan setiap penceramah mendapatkan tauliah untuk mengajar dan memberi kuliah tentang Islam bagi tujuan pemantauan, agar ajaran yang disampaikan selaras dengan dasar pihak berkuasa agama.

Perkembangan ini menyusuli kontroversi melibatkan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin, yang dilucutkan tauliah oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, lanjutan daripada ceramah yang mengandungi perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor semalam membidas Shahul dan berkata pengetua itu tidak seharusnya membuat fatwa sendiri.

“Dalam teks al-Quran, tak ada larangan tak boleh pergi. Selagi tak ada nas, atau teks dalam al-Quran yang melarang kita melakukan sesuatu jangan buat kenyataan itu.

“Kita berdakwah ini kena berakhlak, dari segi tutur bahasa, dan juga tindakan kita,” katanya kepada FMT.

Majlis Raja-raja Melayu mengecam “tindakan bersifat keterlaluan” susulan kontroversi dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” baru-baru ini.

Majlis Raja-raja Melayu berkata tindakan itu boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum, serta membawa implikasi lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

-Free Malaysia Today-