Kementerian Pendidikan bercadang memperluas Sekolah Model Khas Komprehensif (Sekolah K9) pada masa depan susulan kejayaannya mengurangkan keciciran murid Orang Asli, kata Timbalan Menteri Datuk Chong Sin Woon.

Katanya ini juga bagi memenuhi permintaan komuniti itu sendiri yang melihat kesan positif tentang sekolah K9.

"Kerajaan sentiasa memandang serius masalah keciciran pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gebok di sini, hari ini.

Setakat ini, Sekolah K9 di Semenanjung ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, Lipis dan SK Paloh Inai, Pekan di Pahang; SK Pos Kemar, Gerik, Perak; SK Bukit Kemandol, Kuala Langat, Selangor dan SK Seri Sedohok, Kluang, Johor.

Di Sarawak pula ialah SK Long Bedian, SK Long Lamo, SK Keyok, SK Long Jakitan, SK Long Lamin serta SK Lusong Laku manakala SK Pensiangan, SK Bawang, SK Sabur, SK Buis dan SK Menanam di Sabah.

Mengulas lanjut, Chong berkata selain itu kementerian juga melatih guru dalam kalangan Orang Asli bagi mendekati dan memperkasa murid komuniti berkenaan.

"Kita tidak berhasrat mengubah Orang Asli ini menjadi seperti kita... kalau mereka biasa dengan kehidupan di kampung mereka, kita hormati cara mereka, tetapi kita mahu mereka mempunyai pendidikan yang sama seperti kita," katanya.

Menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga dengan asrama harian disediakan bagi mereka yang tinggal jauh dari sekolah.

Terdahulu, Chong menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada 42 keluarga Orang Asli Kampung Gebok.

- Bernama-