Walaupun kami menyokong mana-mana langkah untuk mempertahankan dan menjaga hak masyarakat Orang Asli bersandarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam masa sama kami turut memandang serius tindakan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) yang menyaman kerajaan PAS negeri Kelantan berhubung tuntutan hak tanah adat Orang Asli. Tindakan ini dilihat berupaya menyebabkan agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik akan dihina dan dipandang rendah orang ramai.

Sebelum ini, PH dikecam dan dikritik apabila salah seorang pemimpinnya mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin Orang Asli sekiranya mereka tidak menyokong PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. Sedia maklum, jumlah pengundi Orang Asli dalam PRK yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini amatlah besar, iaitu 22% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Saman tersebut telah difailkan pada 14 Januari dan tarikh perbicaraannya telah dipercepatkan kepada hanya 8 hari selepas ia difailkan. Tindakan yang secara “kebetulan” ini amat mencurigakan.

Kami juga melihat kedua-dua tarikh tersebut berlaku dalam tempoh kempen PRK Cameron Highlands, dan ia sudah pasti akan dijadikan sebahagian kempen calon PH.

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mempersoalkan pengurusan kes yang kelihatan dibuat secara tergesa-gesa itu. Ada juga yang bimbang bahawa Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman sedang dipergunakan untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan demi memenuhi agenda politik peribadi kerajaan PH.

Oleh itu, kami menggesa kerajaan PH supaya tampil menjelaskan niat sebenar mereka mengenai tindakan saman terhadap kerajaan negeri Kelantan yang secara “kebetulan” berlaku semasa tempoh berkempen. Penetapan tarikh perbicaraan yang hanya 8 hari selepas saman difailkan amat meragukan!

Jurucakap MCA, Chan Quin Er