20 Januari 2020

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Sdri Nicole Wong

Kutuk keganasan di KKIA, Pemuda MCA seru jangan berpecah kerana PRK

Pemuda MCA mengutuk tindakan ganas kumpulan yang disyaki penyokong Parti Warisan Sabah terhadap orang-orang Barisan Nasional di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dan menyeru supaya masyarakat janganlah berpecah kerana pilihan raya kecil di Kimanis, baru-baru ini.

Pemuda MCA berasa dukacita atas insiden yang telah berlaku.

Negara kita mempunyai undang-undang. Tiada siapa boleh membelakangkan undang-undang ini dan menyerang orang lain secara keganasan di khalayak ramai, apatah lagi di sebuah lapangan terbang antarabangsa. Tiada undang-undang akan membiarkan perkara sebegini.

Apa yang mendukacitakan, penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak disyaki bertelagah kerana PRK tersebut, sehingga saling tuduh menuduh dan akhirnya terjadi keganasan. Kita percaya tiada siapa daripada kita ingin melihat perkara ini berlaku.

Para pengundi di Kimanis telah membuat pilihan melalui sistem demokrasi pada 18 Januari, dan keputusan PRK tersebut telah pun dimuktamadkan. Pemuda MCA menyeru orang ramai menerima keputusan demokrasi ini secara terbuka serta mengingatkan bahawa keganasan tidak boleh mengubah apa-apa, sebaliknya hanya menambahkan permusuhan serta memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang, tiada siapa patut bertindak menentang tata susila awam atau melakukan tindakan lain yang menyalahi undang-undang. Mereka yang berasa pihak lawan telah melakukan kesalahan, gunakanlah saluran undang-undang yang bersesuaian, bukannya menguatkuasakan sendiri undang-undang.

Pemuda MCA berharap dan menyokong pihak polis bertindak secara saksama ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira fahaman politik.

-MCA online-