Kementerian Pengangkutan berminat untuk mengkaji sistem bayaran cukai jalan secara fleksibel berdasarkan rekod pemandu, susulan pengenalan liberalisasi pembayaran insurans kende­raan baru-baru ini, kata Menteri­nya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, perkara itu adalah satu insentif yang akan memberi manfaat besar kepada pe­milik kenderaan yang berhemah­ seperti dilakukan oleh syarikat insurans dalam liberasi insu­rans mereka mengikut keadaan kenderaan, jangka masa atas jalan dan merit kesalahan lalu lintas.

“Sistem pembayaran cukai jalan fleksibel ini satu daripada contoh untuk kerajaan mem­berikan insentif kepada peman­du berhemah mendapatkan pen­gu­rangan cukai jalan,” katanya selepas menyaksikan maj­lis menandatangani perjanjian kerjasama antara Atilze Digital Sdn. Bhd. dengan U Mobile Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menurutnya, dengan adanya sistem dan teknologi terkini, berapa lama sesuatu kenderaan itu dipandu di jalan raya dapat diketahui, maka lagi kurang perbatuan, lagi rendah cukai jalan yang dikenakan.

“Kita boleh laksanakan sehingga peringkat itu dan maksud saya pembayaran cukai jalan fleksibel ini boleh dikaji untuk masa depan, bukannya masa terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai denda yang dikenakan ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam, Tiong Lai berkata, ini adalah bukti kementerian dan JPJ bertindak secara telus dan tegas ke atas pesalah jalan raya tanpa mengira pangkat atau latar belakang.

“Pegawai terba­bit telah pun dike­nakan denda maksimum RM600 dan kita tidak akan mengambil ringan isu ini terutamanya kesalahan yang serius iaitu menggunakan lorong kecemasan, memandu dengan laju, dan melanggar arahan trafik.

“Kita tidak akan tutup kes walaupun pegawai kita sendiri yang melakukan kesalahan... salah tetap salah walaupun menteri melakukan kesalahan tersebut juga akan disaman,” katanya.

– Bernama