Terdapat dua kemungkinan yang menyebabkan perdana menteri menjawab soalan parlimen bagi pihak Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika mereka berdua hadir pada sidang itu semalam, dakwa Anggota Parlimen Ayer Hitam BN Wee Ka Siong.

Katanya jika Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjawab bagi pihak seorang menteri semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, maka perdana menteri seolah-olah menganggap orang bawahannya tidak cekap.

"Perdana menteri tidak mempunyai keyakinan dan berasakan bahawa menteri terbabit tidak mampu menjawab soalan, dengan itu beliau berbuat demikian (menjawab) bagi pihak menteri.

"Tetapi dalam kes Guan Eng, beliau ialah bekas ketua menteri selama dua penggal. Bukanlah beliau orang yang tiada pengalaman atau tidak cekap untuk menjawab soalan itu sendiri.

"Guan Eng berkata perdana menteri mempunyai hak untuk berbuat demikian, sementara saya tidak mempersoalkan hak perdana menteri, saya fikir ia adalah sesuatu yang jarang berlaku dan dibuat secara tiba-tiba," kata Wee ketika dihubungi.

Menurut beliau, satu lagi sebab lain mungkin kerana Dr Mahathir ingin menetapkan duluan menjawab soalan bukan sahaja bagi pihak menteri kewangan, tetapi untuk semua menteri lain pada sidang parlimen.

Rekod Mahathir tiada yang aneh

"Beliau berhasrat menjawab bagi pihak mana-mana menteri jika perlu berbuat demikian.

"Tetapi melihat rekod Dr Mahathir, tidak ada yang aneh kerana itu adalah cara perdana menteri (menjalankan pentadbirannya) sebelum membentuk kabinetnya," kata Timbalan Presiden MCA itu.

Menurut Kertas Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) mengajukan soalan pertama yang ditujukan kepada menteri kewangan.

Ahmad Zahid meminta menteri kewangan menyatakan rasional bagi Malaysia untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari Jepun, dengan nilai mata wang yang lebih tinggi daripada ringgit, walaupun dengan kadar faedah rendah.

Tetapi, Mahathir mengejutkan Dewan Rakyat dengan menjawab soalan itu.

Beliau berkata kerajaan menimbang untuk mendapatkan kemudahan pinjaman daripada Jepun bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang yang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu sebanyak enam peratus.

Menurut perdana menteri lagi nilai wang yen Jepun lebih murah berbanding ringgit.

Maka katanya dengan membayar balik hutang negara menggunakan yen bermakna negara tidak dibebani dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus.