Ketua MCA Bahagian Pasir Gudang, Tan Tuan Peng berkata, ini kerana, keberkesanan alat pengesan gas yang digunakan itu hanya sesuai digunakan untuk kawasan yang tertutup dan bukan di tempat terbuka seperti sekolah.

Malah, katanya, alat pengesan yang dianggarkan berharga RM10,000 seunit itu hanya boleh mengesan satu gas pada satu masa dan mereka yang mengendalikannya juga perlu memasukkan jenis gas yang ingin dikesan.

“Mereka tidak profesional kerana memberikan peralatan yang tidak sesuai kepada sekolah terlibat, daripada diberikan alat pengesan gas adalah lebih baik JAS beri alat yang boleh menganalisis gas di mana ia boleh mengesan lebih 1,000 gas pada satu masa.

“Selain itu, mereka mendakwa alat pengesan itu boleh berfungsi selama 24 jam sedangkan masa untuk mengecas alat tersebut sahaja sudah memakan masa empat jam dan penggunaannya hanya boleh diguna pakai selama 16 jam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, daripada mereka membayar lebih RM1 juta untuk membeli 111 alat pengesan gas itu adalah lebih baik mereka membeli sebuah alat yang mampu menganalisis gas dengan lebih berkesan yang dianggarkan berharga RM50,000 hingga RM200,000 sebuah.

Tuan Peng yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam perniagaan peralatan perlindungan diri (PPE) berkata, alat menganalisis gas itu berfungsi menerusi pengumpulan udara yang kemudian mengasingkan molekul sebelum mengenalpasti jenis gas atau toksik dengan tepat.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah tindakan meminjamkan alat pengesan gas di 111 buah sekolah itu hanya dibuat untuk menenangkan orang ramai dan memaklumkan bahawa mereka menjalankan kerja semata-mata.

“Apa sebenarnya yang sudah berlaku, apa jenis toksik atau gas yang dikenalpasti merupakan antara pelbagai persoalan yang dibangkitkan penduduk di Pasir Gudang. Jika tiada kepakaran kerajaan perlu cuba untuk mendapatkan pandangan pihak dari luar,” katanya.

-Utusan Online-