12 November 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Sdri Chan Quin Er

Kami merujuk kepada serangan berasas politik oleh ahli Labuan DAP Jeremy Wong Kwan Kit terhadap calon BN untuk PRK Tanjung Piai Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng, yang mempersoalkan sebab di sebalik tindakan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) menyewa sebuah pejabat di Kuala Lumpur yang didakwanya satu pembaziran wang rakyat bernilai RM526 ribu.

Selepas LPA dipisahkan daripada kerajaan BN pada tahun 2016, ia diputuskan bahawa LPA memerlukan sebuah pejabat kecil di Kuala Lumpur untuk memudahkan urusan perniagaan, perdagangan dan pentadbiran.

Soalan utama Jeremy Wong adalah apakah justifikasi untuk LPA membayar RM14 ribu sebulan untuk menyewa sebuah pejabat di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Ini bukan persoalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Kami tidak pasti mengapa Jeremy berpendapat bahawa sebuah pejabat sebesar 3,000 kaki persegi di Kuala Lumpur dianggap sebagai satu pembaziran, namun ia harus ditekankan bahawa kebanyakan pengurusan pelabuhan dan syarikat perkapalan di seluruh negara juga memiliki pejabat di Kuala Lumpur.

Contohnya, Westport di Port Klang memiliki sebuah pejabat di Mont Kiara. Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor juga memiliki sebuah pejabat di Menara TH Perdana di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Ia tidak boleh dinafikan bahawa Kuala Lumpur adalah pusat perdagangan, perniagaan dan kewangan Malaysia.
Atas sebab yang sama, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) turut memiliki sebuah pejabat di KL Sentral, yang berdekatan dengan Bangsar South.

Alasan ini juga diberi oleh Ong Kian Ming apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengambil keputusan membuka sebuah pejabat untuk Institut Penang di Kuala Lumpur walaupun Pulau Pinang terletak 360km dari Kuala Lumpur.

Oleh itu, isu ini mengambil kira pulangan pelaburan, kecekapan dan pembangunan perniagaan, Ini berbeza pula dengan pemikiran ahli-ahli politik Pakatan Harapan yang kurang bijak, kurang matang dan berpandangan pendek yang telah menyebabkan ekonomi negara semakin merosot sejak setahun setengah lalu.

Mana-mana syarikat perkapalan atau pelanggan baru di Kuala Lumpur yang berjaya ditarik oleh LPA akan tentu membawa kepada keuntungan dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi berbanding kos sewaan pejabat di Kuala Lumpur.

Selain itu, Jeremy juga mendakwa bahawa pejabat LPA di KL telah disewa selama 3 tahun bermula pada April 2017.
Jeremy sendiri mengakui bahawa selepas tempoh sewaan bermula, kerja-kerja pengubahsuaian telah berlangsung selama beberapa bulan malah juga mendakwa bahawa Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan pejabat tersebut masih belum dihuni pada akhir tahun tersebut.

Akan tetapi, Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng merupakan mantan Pengerusi LPA, sementara hal-hal berkenaan operasi di bawah bidang kuasa Pengurus Besar LPA yang bertanggungjawab kepada Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan. Mana-mana keputusan yang diambil harus diluluskan Lembaga LPA, dan bukan hanya oleh Pengerusi seorang sahaja.

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada tahun 2018, pejabat tersebut masih tidak dihuni, dan jika keadaan ini berterusan sehingga April 2020, maka kerajaan PH telah gagal dalam tanggungjawabnya untuk menggunakan ruang pejabat tersebut untuk membangunkan dan menggalakkan perniagaan. Ini bermaksud, kerajaan PH lah yang secara langsung bertanggungjawab atas pembaziran dua pertiga daripada jumlah RM526 ribu yang didakwa Jeremy.

Bagi isu tandas pintar pula, kami tidak pasti akan kosnya kerana ia melibatkan isu operasi yang bukan di bawah bidang kuasa mantan Pengerusi LPA.

Sudikah Jeremy memberi pencerahan sedikit dengan menyediakan bukti perbelanjaan?

Walaubagaimanapun, kami tidak terkejut jika ahli-ahli politik PH memberi perhatian melampau terhadap isu-isu berkenaan tandas.

Ini kerana sebelum ini, seorang menteri PH telah dilaporkan membelanjakan jumlah banyak wang rakyat untuk membangunkan dan melancarkan aplikasi MyWC atau “MyToilet” dalam satu upacara besar-besaran pada bulan September lepas.

Kami tersentuh kerana saudara Jeremy amat prihatin dengan kos sewaan RM14 ribu yang dibayar menggunakan wang rakyat. Atas sebab itu, kami berharap saudara Jeremy juga akan mengamalkan sikap prihatin yang sama dalam dua isu tersebut:

1. Memastikan ahli-ahli Parlimen PH yang dibayar RM80,000 sebulan menghadiri sesi Parlimen dan bukannya main ponteng kerana ia merupakan satu pembaziran wang rakyat

2. Bertanya kepada Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow mengapa mereka masih membiayai bayaran sewaan bulanan sebanyak RM65,000 untuk Muzium Komik Asia yang sebenar 13,500 kaki persegi walaupun DAP telah mengesahkan bahawa muzium tersebut adalah 100% hak milik persendirian dan bukan dimiliki kerajaan Pulau Pinang.

Sejak April 2016, sebanyak RM2.7 juta wang rakyat telah dibayar kerajaan Pulau Pinang kepada sebuah syarikat yang diketuai ahli DAP, Hew Kuan Yau@Superman.

Adakah ini bermaksud rakyat sedang membayar kos operasi bulanan sebuah syarikat swasta sementara kawan-kawan DAP mengaut keuntungan daripada pendapatan penjualan tiket masuk dan barangan?

Kami berharap saudara Jeremy akan membuat pendirian atas isu ini dan membantu kami membuat laporan kepada SRPM terhadap kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tersebut yang jelas ini.

Chan Quin Er
Jurucakap MCA

-MCA online-