Majlis pelancaran Share Zone, semarakkan kempen kasih sayang ‘BeMYHero’

‘Share Zone’ merupakan salah satu daripada siri aktiviti kempen kasih sayang ‘BeMYHero’ kelolaan badan amal GoCare, yang membolehkan orang ramai berkongsi hasil kreativiti mereka secara dalam talian, sambil mengekalkan pemikiran yang optimis dan sihat.

Pandemik COVID-19 banyak memberi impak kepada kehidupan seharian. Di bawah norma baharu, perkongsian aktiviti harian secara dalam talian kini menjadi lumrah. Orang ramai bolehlah mengongsikan hasil kreativiti masing-masing seperti gambar, klip video pendek, kraftangan, poster, lagu ciptaan dan sebagainya melalui Share Zone di laman GoCare BeMYHero, berdasarkan tema yang ditetapkan pihak penganjur, iaitu “Stay Strong, Return Stronger”, kemudian memuat naik ke media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyebarkan positiviti ini.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong berkata, pandemik turut menjejaskan sistem pendidikan, apabila pelajar-pelajar tidak dapat hadir ke sekolah secara fizikal. Beliau menyeru institusi/pusat pengajian supaya menyertai Share Zone ini, bagi mendidik para pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Perkongsian hasil kreativiti ini tidak memerlukan aktiviti di luar rumah. Sebaliknya, para peserta boleh mengasah bakat dan menyempurnakan hasil karya masing-masing hanya dari rumah. Bagi mereka yang berminat mewarna, GoCare juga menyediakan ‘template’ untuk dimuat turun, melalui pautan https://gocare.org.my/product/share-zone/ .”

Tempoh aktiviti ini adalah bermula dari 12/1/2021 sehingga 28/2/2021, manakala aktiviti ‘like & share’ pula bermula 28/2/2021 hingga 5/3/2021. Pihak penganjur akan memberikan hadiah-hadiah menarik kepada 10 penyertaan yang paling kreatif dengan jumlah sukaan (like) terbanyak. Setiap peserta juga akan menerima penghargaan berbentuk e-sijil. Keputusan akan diumumkan pada 5 Mac depan.

Menurut Ketua Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) Terengganu, Poh Cheng Haw, “kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak pusat pengajian bagi menggerakkan aktiviti ini. Selain memberi peluang kepada pelajar untuk menyertainya, pusat-pusat pengajian ini juga akan mendapat publisiti secara percuma. Kami amat mengalu-alukan pusat-pusat pengajian untuk menjadi rakan kongsi kempen kasih sayang ‘BeMYHero’. Marilah kita saling membantu dan membina masyarakat penyayang.”

Untuk keterangan lanjut, sila layari https://gocare.org.my/product/share-zone/ atau telefon 03-2203 3920 / 0196696278.

-MCA online-