Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak melupuskan 48 anjing liar di Kuala Sepetang, Taiping sehingga semalam, susulan kes seekor anjing yang di kesan Sabtu lalu dijangkiti wabak rabies atau anjing gila serta mati selepas sembilan hari menggigit dua kanak-kanak perempuan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Intergrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi menjaga kepentingan dan keselamatan awam. Menurutnya, pada Isnin lalu, kerajaan negeri mewartakan Mukim Matang di daerah Larut Matang Selama (LMS) sebagai kawasan wabak rabies, namun setakat ini, ia adalah kes terpencil yang hanya dikesan membabitkan seekor anjing peliharaan mati selepas sembilan hari menggigit dua kanak-kanak.

“Buat masa ini, wabak rabies di Kuala Sepetang adalah kes terpencil dan tiada penularan serta tiada individu dikesan dijangkiti wabak terbabit termasuk dua kanak-kanak yang digigit.

“Lapan sampel daripada anjing di kawasan yang diwartakan juga diambil dan hasil ujian lima sampel yang dibuat Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh yang diperoleh hari ini (semalam) mendapati negatif rabies, manakala tiga lagi yang dihantar malam tadi (kelmarin) dijangka diketahui keputusannya Jumaat ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak di Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Hassan Merican, Pengarah JPV Perak, Dr Fuziah Muhayat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, ChuaYee Ling dan wakil beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Taiping.

Dr Mah berkata, langkah sewajarnya diambil bagi menangani kes itu selepas kawasan berkenaan diwartakan sebagai kawasan wabak rabies.

“Sebanyak 65 anjing dan 67 kucing sudah diberi suntikan vaksin.

“Manakala 48 anjing liar di kawasan pewartaan yang ditangkap juga terpaksa dilupuskan bagi menjaga kepentingan dan keselamatan penduduk.

“Beberapa sesi penerangan yang dibuat bagi menyampaikan maklumat kepada penduduk terutama langkah keselamatan yang perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Dr Fuziah berkata, proses mengambil sampel daripada anjing liar masih dilakukan termasuk membabitkan kawasan yang mempunyai penempatan warga asing.

“Lapan sampel diambil daripada 48 anjing yang dilupuskan iaitu pada Isnin dan Selasa lalu yang sudah dihantar ke makmal untuk mengetahui rebakan penyakit jika ada,” katanya.

-Harian Metro-