20 September 2019

Kenyataan Media Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie

Indonesia menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 19 tahun: Bilakah giliran Malaysia?

Wanita MCA mengalu-alukan langkah Parlimen Indonesia menaikkan had umur minimum perkahwinan daripada 16 tahun kepada 19 tahun.

Menurut laporan media, ia dibuat susulan persetujuan sebulat suara di sesi Parlimen Indonesia pada 16 September 2019. Ini menunjukkan kematangan pemimpinnya di mana semua parti sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politik demi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak bawah umur.

Sepertimana penggubalan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak pada 2017 sebelum ini, Wanita MCA juga mengharapkan agar pindaan legislatif di peringkat pusat dan negeri teehadap isu ini juga akan mendapat sokongan sebulat suara tanpa mengira perbezaan politik, bangsa dan agama.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai  penduduk beragama Islam teramai di dunia, tindakan bijak dan proakrif Indonesia telah mengharumkan namanya dan bangkit menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam usaha mengatasi masalah perkahwinan kanak-kanak di Indonesia .

Memandangkan isu perkahwinan kanak-kanak di Gua Musang dan Tumpat di Kelantan pada tahun lepas yang telah membangkitkan kemarahan orang ramai, Wanita MCA menggesa negeri Kelantan khususnya, agar menghormati hasrat masyarakat umum untuk meminda enakmen negeri supaya had umur minimum perkahwiman dinaikkan kepada 18 tahun.   

Dengan pindaan rang undang-undang sedemikian, imej Malaysia pasti akan terpelihara dan menjadi teladan dalam usaha menangani kes- kes jenayah yang berkaitan seperti jenayah seksual, keganasan rumah tangga, pedofilia, dan ibu remaja.

Malah, kajian juga menunjukkan bahawa melahirkan anak pada usia yang terlalu muda akan mengakibatkan masalah kesihatan pada hari tua kelak.

Selain itu, kanak-kanak perempuan juga harus diberi peluang untuk melanjutkan pedidikan demi untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan agar mampu  berdikari dan sanggup menghadapi segala cabaran dan dugaan di masa depan . Apapun, pendidikan memang terbukti sebagai peloncak mobiliti sosial paling berkesan dalam menghapuskan kemiskinan.

Tambahan pula, perkahwinan kanak-kanak juga melanggar Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menegaskan bahawa seorang kanak-kanak berhak kepada perkara asas untuk hidup, manakala Perkara 16(2) Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) melarangkan perkahwinan kanak-kanak.

Malah, Seksyen 375 (g) Kanun Keseksanaan juga menyatakan bahawa mana-mana lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan perempuan di bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa persetujuannya, adalah dianggap sebagai rogol, kecuali ia dilakukan bersama dengan isterinya di mana perkahwinan telah disahkan oleh undang-undang.

Justeru itu, Wanita MCA mengesa kerajaan baru, khususnya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Wan Azizah dan Timbalan Menteri Wanita, Komuniti dan Masyarakat Hannah Yeoh agar segera membentangkan pindaan rang undang-undang (RUU) untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan Malaysia dari 16 kepada 18; sepertimana yang dijanjikan .

-TAMAT-