Masjid Lama Machap bakal jadi tarikan baharu TMM2024
KRT rujukan sosial komuniti setempat   

Pertimbang jual beras tempatan kepada rakyat Malaysia sahaja - Pemuda MCA

Pada Rabu    20-09-2023 19:50:00

Cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya dihadkan penjualan beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia mempunyai merit untuk dipertimbangkan.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata, ini kerana kekurangan bekalan di pasaran mendorong kenaikan harga beras tempatan sekali gus menambah beban rakyat.

Katanya, sedangkan perkara yang perlu diberi keutamaan adalah memastikan masyarakat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Apabila golongan tertentu dihadkan atau dilarang daripada membelinya, keberadaan beras tempatan di pasaran akan meningkat dan ini memudahkan rakyat kita terutamanya yang berpendapatan rendah.

"Apa yang penting, kena pastikan anak-anak kita dan anak-anak jiran kita, sudah cukup kekenyangan terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Baru-baru ini, Muhamad Akmal mencadangkan agar kerajaan perlu melaksanakan polisi mengutamakan penjualan beras tempatan kepada warganegara Malaysia bagi menangani krisis bekalan makanan ruji itu.

Beliau berkata, langkah itu boleh menstabilkan krisis bekalan beras yang meruncing ketika ini.

Tambah Nicole Wong, bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu enggan memperhalusi cadangan tersebut.

"Beliau memberi alasan warga asing pun perlu makan dilihat satu pendekatan 'simplistic'.

"Kadar caj dan deposit kemasukan wad di hospital kerajaan, misalnya, adalah jauh lebih tinggi untuk warga asing berbanding warga tempatan, walaupun semua orang akan sakit, dan mereka juga berkhidmat untuk negara kita," jelasnya.

-Sinar Harian-

Berita Berkatian

Isu beras: Utamakan rakyat tempatan dahulu – Pemuda MCA

Beras kurang : Sila pastikan 'anak di rumah kenyang' dulu

Hui Ying cuba menipu dalam isu pelajar antarabangsa di SMPC – Ketua Pemuda MCA

Pemuda MCA anjur program lahirkan pelapis baharu

Kerjasama rentas agensi tangani jenayah menghendap