Bakal bawa kehancuran kepada negara sekiranya Kit Siang jadi PM - Presiden MCA
Tingkat penguasaan bahasa Melayu di SJKC  

Malaysia bukan negara gagal

Pada Rabu    20-12-2017 10:44:00

Malaysia bukanlah sebuah negara gagal seperti didakwa segelintir pihak berikutan kemampuan negara ini untuk terus menarik pelaburan serta mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif sejak beberapa tahun lamanya.

Sambil menyangkal dakwaan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata Malaysia juga terbukti mencatat lebihan perdagangan setiap tahun sejak 1997.

“Sehubungan itu, saya amat kecewa apabila pihak pembangkang menuduh kerajaan kita gagal atau Malaysia adalah sebuah negara gagal sedangkan (hakikatnya) kita terus menarik pelaburan serta angka KDNK yang positif.

“Kita juga telah memaparkan kejayaan jumlah dagangan dan eksport yang mencatat peningkatan dua angka,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Chua turut menyelar pihak pembangkang yang disifatkannya bertindak memutarbelitkan fakta mengenai keadaan ekonomi semasa Malaysia demi kepentingan politik dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

Mengulas rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata angka itu sentiasa meningkat dan dipengaruhi oleh kemasukan dan aliran keluar dana-dana asing.

“Inilah sebabnya mengapa pada 1997 lalu rizab antarabangsa kita adalah kira-kira US$20 bilion (US$1 = RM4.08) dan kini mencecah kira-kira US$100 bilion,” katanya.

Kenyataannya itu sebagai mengulas dakwaan pembangkang bahawa rizab mata wang asing BNM telah berkurangan dan berlaku kerugian.

Mengulas lanjut, Chua berkata setakat akhir November 2017, rizab antarabangsa Malaysia adalah pada US$101.9 bilion dan memadai bagi menampung 7.5 bulan import tertangguh.

“Jumlah rizab semasa itu adalah lima kali ganda melebihi US$21.7 bilion yang dicatat pada 1997 yang hanya memadai untuk menampung 3.4 bulan import tertangguh,” katanya.

– Bernama

Berita Berkatian

Eksport negara berkembang - Kerajaan nafi dakwaan negara pengimport tidak mahu produk Malaysia

Moody's sahkan penarafan A3 Malaysia dengan prospek stabil

TPPA: Malaysia akan ikut konsensus

Nilai dagangan negara mampu cecah RM1.6 trilion

Malaysia kekal dalam kelompok 25 negara teratas ekonomi global