Tun Dr Lim Chong Eu

Pada Selasa    21-06-2016 18:17:00

Tun Dr Lim Chong Eu 
Presiden MCA Kedua
Mac 1958 - Julai 1959

Tun Dr Lim Chong Eu dilahirkan di Pulau Pinang pada 28 Mei 1919 dan telah belajar di Penang Free School. Pada 1937, beliau menerima biasiswa “King’s Scholar” semasa belajar di Universiti Edinburgh, Scotland dan telah menerima ijazah perubatan pada 1944.

Pada 1951, beliau telah dilantik ke sebagai ahli Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, dan pada 1955 beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Dalam pemilihan parti pada Mac 1958, beliau telah bertanding untuk jawatan Presiden dan telah menang dengan majoriti 22 undi.

Selepas kemenangannya, beliau telah memanggil satu mesyuarat agung luar biasa untuk meminda Perlembagaan Parti untuk mengukuhkan kuasa Jawatankuasa Pusat. Langkah ini telah ditentang oleh Tun Tan Siew Sin dan penyokong-penyokongnya.

Walaupun cadangan tersebut diluluskan dengan majoriti satu undi, ia telah memecah-belahkan parti. Pada masa sama, MCA di bawah kepimpinan beliau juga berselisih pendapat dengan Perdana Menteri pada masa itu, Tunku Abdul Rahman.

Krisis menjadi lebih teruk semasa Pilihan Raya Umum 1959 apabila beliau telah menuntut 40 kerusi Parlimen dan mendesak untuk menjadikan Bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi negara.

Walaupun Tunku telah menambah jumlah kerusi MCA dari 28 ke 31, tetapi ini telah ditolak oleh beliau, dan hubungan antara mereka bertambah buruk.

Selama satu tahun MCA di bawah kepimpinan beliau, MCA telah menghadapi tekanan tinggi dari dalam dan luar parti. Pada Disember 1960, beliau telah meninggalkan MCA dan Dr Cheah Toon Lock telah menjadi Pemangku Presiden. Pada 1962, Chong Eu telah menubuhkan Parti Demokratik Bersatu. 

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebelum Pilihan Raya Umum pada 1969. Penubuhan parti Gerakan telah menyebabkan masyarakat Cina bercelaru dan melemahkan pengaruh politik mereka. Langkah ini juga telah menghakis perwakilan politik MCA sebagai parti tunggal yang mewakili masyarakat Cina.  Pada 1969, Gerakan telah menyertai Barisan Nasional setelah Berjaya menawan kerajaan Pulau Pinang.

Chong Eu telah menghembus nafas terakhir pada 24 November 2010 di kediaman beliau di Tanjung Bungah dikelilingi oleh keluarga dan kawan-kawannya.