21 Ogos 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA Ryan Ho Kwok Xheng

Mengapa ambil pinjaman tinggi - PH jual negara?

Laporan Bank Negara Malaysia yang menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan sudah meminjam RM58.1 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini amat membimbangkan dan membuatkan ramai tertanya-tanya, apakah kesan daripada pinjaman besar tersebut?

Ketidakcekapan pengurusan perbelanjaan kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja menjejaskan kekukuhan kewangan negara, malah membangkitkan kebimbangan jika Malaysia terpaksa mengikut kehendak negara lain.

Contohnya, penerbitan bon Samurai yang jelas menyumbang kepada peningkatan hutang negara secara mendadak. Akibatnya, Malaysia dilihat bergantung kepada Jepun untuk menyelamatkan ekonominya.

Dalam isu pelanjutan lesen operasi Lynas, di mana ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh telah mendakwa kerajaan tersepit kerana terpaksa mengambil kira kepentingan Jepun yang merupakan benefisiari mutlak daripada hasil Lynas. Bukankah ini seumpama menggadai kepentingan rakyat dan negara demi wang?

Lebih membimbangkan lagi adalah pengumuman Menteri Kewangan bahawa Malaysia sedang mengkaji untuk mengambil pinjaman daripada China, yang dipanggil bon Panda. Adakah Malaysia bakal menjadi “pak turut” negara China dan Jepun jika tidak berjaya membayar balik hutang tersebut?

Sebelum ini, Pakatan Harapan juga menyebarkan fitnah kononnya BN telah menjual negara kepada China dan menggunakan projek Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan Forest City Johor sebagai bukti. Namun, Pakatan Harapan sendiri mengakui bahawa kedua-dua projek tersebut membawa manfaat kepada negara, manakala Lynas pula didakwa Pakatan Harapan sebelum ini sebagai “membahayakan” kesihatan dan keselamatan penduduk.

-MCA online-