Isu beras: Utamakan rakyat tempatan dahulu – Pemuda MCA
KRT rujukan sosial komuniti setempat   

Masjid Lama Machap simbol perpaduan dua kaum

Pada Khamis    21-09-2023 10:50:00

Masjid Kampung Lama Machap di tebing Empangan Durian Tunggal, menjadi saksi semangat perpaduan antara masyarakat Melayu dan Cina yang pernah tinggal sekampung di penempatan itu lebih 50 tahun lalu.

Meskipun Kampung Lama Machap kini menjadi sebahagian daripada Empangan Durian Tunggal, namun semangat perpaduan dalam kalangan orang lama penempatan itu masih menebal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, antara kenangan kerap dikongsi penduduk adalah perasaan hiba mereka ketika proses pemindahan kerana terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Durian Tunggal.

“Kampung berkenaan menjadi tempat berteduh kira-kira 100 penduduk Malayu dan Cina. Difahamkan sampai sekarang ada struktur di dasar empangan masih teguh berdiri. 

“Semangat perpaduan antara dua kaum di kampung itu begitu hebat. Malah Masjid Kampung Lama Machap berusia 100 tahun menyimpan 1,001 sejarah dibina hasil perpaduan penduduk yang bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi menjayakan pembinaannya.

“Selepas pembinaan selesai, kedudukan Masjid Kampung Lama Machap terletak di puncak bukit kini berada betul-betul di tebing Empangan Durian Tunggal, begitu unik cantik dan menarik,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, masjid warisan itu kini dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Jelasnya bangunan berkenaan memiliki seni bina yang istimewa, berunsurkan Islam selain menyentuh konsep perpaduan Melayu dan Tiong Hua.

Bagi mengangkat kembali martabat masjid warisan itu dan menyokong sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) usaha membaik pulih Masjid Kampung Lama Machap akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah meluluskan peruntukan RM250,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih, sekali gus mengangkat masjid lama itu sebagai lokasi tarikan pelancong.

“Biarpun masjid ini tidak lagi melaksanakan Solat Jumaat, ia masih menjalankan fungsi lain dan dibuka kepada orang ramai. Saya difahamkan sebut harga tender akan membabitkan aspek mengecat semula bangunan, membaiki kerosakan siling dan bahagian lain.

“Diharapkan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan segera supaya masjid berusia lebih 100 tahun itu selamat dan lebih menarik untuk dikunjungi pelancong,” katanya.

-Melaka Hari Ini-

Berita Berkatian

KRT rujukan sosial komuniti setempat

28 dilantik sebagai Duta Perpaduan Melaka

Sistem ‘Bed Management Unit’ diperluas secara berperingkat

Bangunan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru lama diserahkan kepada JKPTG

Blok Wanita dan Kanak-Kanak dijangka siap 2027