21 November 2018

Kenyataan Akhbar Pemuda MCA

Kempen memungut tandatangan membantah pemansuhan hukuman mati

Jawatankuasa Anti Pemansuhan Hukuman Mati Pemuda MCA telah menyahut seruan Gabungan Kebangsaan Anti Pemansuhan Hukuman Mati dan menggerakkan kempen memungut tandatangan membantah pemansuhan hukuman mati Pemuda MCA di kawasan KLCC semalam (20 November). Ia telah mendapat sambutan hangat dari warga masyarakat berbilang kaum, apabila mendapat 300 tandatangan dalam masa sesingkat setengah jam.

Jawatankuasa juga telah menayangkan kain pemidang besar membantah pemansuhan hukuman mati di hadapan KLCC, dengan harapan khalayak ramai dapat menyebarkan mesej ini, agar lebih ramai yang akan mengambil berat tentang isu rakyat ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA merangkap penyelia Jawatankuasa Anti Pemansuhan Hukuman Mati, Heng Zhi Li dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, melalui kempen ini, Pemuda MCA berharap dapat menyampaikan suara rakyat kepada pihak kerajaan, agar mengkaji semula keputusannya untuk memansuhkan hukuman mati.

Katanya, hukuman mati merupakan bentuk hukuman yang dibenarkan di sisi undang-undang, di mana negara telah dberi kuasa oleh rakyat untuk melaksanakannya bagi menghukum pemangsa atas kesalahan yang dilakukan, demi memelihara peraturan masyarakat dan menjaga keselamatan. 

Beliau berkata, ramai pelancong asing telah memberi maklum balas bahawa walaupun pemansuhan hukuman mati dialu-alukan oleh pertubuhan hak asasi manusia, namun di banyak negara yang telah memansuhkan hukuman mati, hak asasi si mangsalah yang kerap kali diabaikan oleh pihak kerajaan.

“Mereka berpendapat, apabila keselamatan nyawa rakyat mengatasi kepentingan pesalah, hukuman mati perlu dikekalkan untuk menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang ingin melakukan jenayah.”

Pemuda MCA akan mengadakan kempen memungut tandatangan di seluruh negara, bagi mengumpul suara rakyat dalam membantu Gabungan Kebangsaan Anti Pemansuhan Hukuman Mati menyampaikan suara rakyat untuk membantah pemansuhan hukuman mati ke Parlimen.

-MCA online-