21 November 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Jangan menafikan projek kepada penduduk Tanjung Piai

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong wajar sedarkan diri bahawa peruntukan untuk kawasan Tanjung Piai bukanlah dari poket Pakatan Harapan mahupun poket menteri, tetapi adalah dari rakyat sendiri. Oleh itu, tindakan Liew mengajak ahli Parlimen Tanjung Piai Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng supaya menyertai Pakatan Harapan sekiranya ingin “melicinkan lagi” projek di kawasan tersebut adalah tidak wajar.

Kenyataan Liew boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan dan penyalahgunaan kuasa dan sumber kerajaan untuk kepentingan politik sendiri. Ia juga memberi gambaran kerajaan PH ingin menghukum penduduk Tanjung Piai atas kekalahan besar dalam pilihanraya kecil minggu lepas. 

Oleh itu, adakah projek-projek yang “secara kebetulan” diumumkan menteri-menteri PH sebelum PRK Tanjung Piai masih akan dilaksanakan walaupun PH sudah kalah? Berhentilah mencari alasan untuk mengelak tanggungjawab dan bermula bekerja untuk menunaikan janji-janji pilihanraya! Jangan lupa bahawa penduduk Tanjung Piai juga membayar cukai dan mereka berhak menerima peruntukan dari kerajaan. 

Sejurus itu, menteri-menteri PH yang sebelum ini menabur janji seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq digesa menjelaskan pendirian mereka terhadap kenyataan Liew dan jika projek-projek tersebut akan “dilicinkan lagi” jika Wee Jeck Seng menyertai blok PH.

Jika sebelum ini penaburan janji dan peruntukan dikatakan dibuat di atas nama arwah Mohamed Farid Md Rafik, janganlah menggunakan projek-projek ini untuk mengugut Wee Jeck Seng.

-MCA online-