Bekas calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong kesal dengan sikap ADUN kawasan itu yang sehingga kini gagal menunaikan janji untuk melebarkan jalan di pekan berkenaan.

Menurut Chee Teong, lawan politiknya itu tidak seharusnya mendiamkan diri setelah bergelar wakil rakyat kerana mandat yang diberikan bukannya suka-suka.

Ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini, Chee Teong yang merupakan peniaga barangan logam berkata, ramai dalam kalangan penduduk Balakong “tiba-tiba” menggelarnya ‘Yang Berhormat’ meskipun ia bukanlah hakikat sebenar.

Katanya, rata-rata melahirkan rasa terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat mereka ketika ini sambil mendakwa tidak ada sebarang pembaharuan dibuat selepas menang PRK lalu.

“Penduduk di sini panggil saya YB tapi kena tambah K, YB yang kalah. Mereka buat aduan kepada saya seperti masalah jalan raya dan lampu, tapi ini sepatutnya diambil tindakan oleh wakil rakyat di sini.

“Mereka buat aduan kepada saya pula sedangkan, saya hanya yang berhormat atas nama saja,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai perkara tersebut, Chee Teong berkata, beliau bimbang janji yang tidak ditunaikan oleh wakil rakyat Balakong itu akan menjadi penyebab timbulnya kebencian rakyat terhadap politik.

katanya, sebagai individu yang dipilih oleh pengundi sepatutnya penyandang kerusi itu menunaikan segala yang dijanjikan dan bukannya sekadar melepas batuk ditangga.

“YB sepatutnya selesaikan masalah bukan sekadar tunjuk muka.

“Balakong ialah kawasan yang semakin pesat berkembang, kawasan industri. Infrustruktur perlu diutamakan bukan makan malam yang diutamakan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan wakil rakyat berkenaan agar menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang baik agar rakyat Balakong menghormatinya sekaligus mewujudkan tauladan kepada semua pihak.

Katanya, beliau bimbang sekiranya satu masa nanti rakyat tidak lagi menghormati pemimpin politik ekoran benci mendengar janji-janji yang mereka khianati.

“Bagi saya janji perlu ditunaikan. Harapan jangan hanya dijadikan harapan.

“Kalau mereka sudah membenci politik, bayangkan satu negara tiada orang hormat kepada orang politik maksudnya tiada contoh kepimpinan sebab kepercayaan kepada pemimpin pun sudah tiada lagi, sebab janji sudah u-turn.

“Dalam tempoh 10 tahun lagi kalau ada yang janji manis rakyat takkan percaya lagi, walaupun ada kerja yang dilakukan. Rakyat benci politik saya, siapa yang janji banyak tapi tak ditunaikan,” tegasnya.

Menurut Chee Teong lagi, beliau mengakui lebih mudah berurusan dengan wakil rakyat terdahulu, mendiang Eddie Ng meskipun merek bukan dalam satu parti.

Ujarnya, tidak seperti wakil rakyat terkini, mendiang Eddie lebih faham dan bersungguh-sungguh untuk menyekesaikan sesuatu perkara lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan hak dan kepentingan rakyat.

Pada PRK Balakong, 8 September tahun lepas, ADUN Balakong, Wong Siew Ki berjanji mahu melebarkan jalan di pekan Balakong sebagai penyelesaian kepada kesesakan trafik yang sering dialami setiap hari oleh pengguna jalan raya di situ.

Malah, projek tersebut juga sudah diserah kepada pemaju, ParkLand Group untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM8 juta.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang turut meninjau kawasan berkenaan ketika kempen sedang berlangsung telah meluluskan projek tersebut dan memberitahu wartawam bahawa jalan tersebut akan dinaik taraf kepada jalan berkembar empat lorong dengan rekabentuk mengikut piawaian ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan, selain pelebaran jalan sepanjang 800 meter itu banyak lagi projek prasarana lain akan dilakukan termasuk kemudahan infrastruktur.

Siew Ki berjaya menewaskan Chee Teong dari MCA dengan majoriti 18,533 undi pada PRK itu.

Siew Ki mendapat sebanyak 22,508 undi manakala Chee Teong hanya memperoleh sebanyak 3, 975 undi.

Kemenangan Siew Ki tidak menjadi kebanggaan bagi PH berikutan jumlah undi diperolehinya merosot sebanyak 13,030 undi berbanding yang diperoleh penyandangnya, mendiang Eddie Ng pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu sebanyak 35,538 undi.

DUN Balakong memiliki 62, 219 pengundi berdaftar dan hanya 87.83 peratus daripadanya telah keluar mengundi pada PRU14 lalu.

PRK Balakong diadakan berikutan kematian Eddie pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya.

– MalaysiaGazette