Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, PAS membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Cameron Highlands atas prinsip solidariti pembangkang dan ia bukan fokus utama pengundi Cina setempat.

Ini kerana, katanya, pengundi Cina lebih memfokuskan isu nasional dan tempatan.

Beliau mendakwa rata-rata pengundi Cina di Cameron Highlands turut menyuarakan kekecewaan terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan lebih teruk daripada BN.

“Saya rasa fokus (pengundi Cina) kepada isu nasional, fokus kepada pentadbiran PH, janji manifesto yang tidak ditunaikan, apa yang tidak ada dalam manifesto dibuat, apa yang dijanjikan dalam manifesto tak dibuat.

“Saya rasa isu nasional dan juga isu tempatan akan menjadi fokus utama seperti isu kesesakan lalu lintas, lesen pendudukan sementara (TOL). Jadi, kalau calon BN menang, ia memudahkan urusan itu sabab ia di bawah kuasa kerajaan Pahang yang ditadbir BN.

“Komuniti Cina bila kami jumpa, ramai cakap mereka marah masalah lama yang tak diselesaikan, tapi mereka lagi marah pilih kerajaan baru, lagi teruk, itu mereka cakap,” katanya dalam sidang media di pejabat MCA Brinchang hari ini sambil disertai calon BN, Ramli Mohd Nor.

Ti berkata, MCA tidak boleh menghalang PAS membantu calon BN berkempen di Cameron Highlands.

“Ini adalah negara demokrasi, semua orang boleh kempen dalam mana-mana pilihan raya. Baik parti mana, mahupun individu, mereka boleh kempen.”

Malam tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepentas bersama pemimpin BN dalam ceramah perdana di Felda Sungai Koyan.

PAS sebelum ini menyuarakan sokongan kepada calon BN dalam misi menguatkan suara pembangkang di Parlimen.

-Free Malaysia Today-