22 Januari 2020

Kenyataan Media ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Dr. Lee Hong Tee

Lambat kemaskini maklumat, vaksin habis: KKM gagal tangani wabak Influenza A!

Ketidakcekapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak influenza A terserlah apabila pihak kementerian dilihat lambat menyampaikan maklumat tekini mengenai penyebaran wabak tersebut dan juga kekurangan bekalan vaksin.

Tindakan KKM yang mengambil tempoh masa lama dalam menentukan kes-kes influenza A dan maklumat berkaitan sebelum membuat laporan turut menjadi punca rasa panik di kalangan rakyat kerana mereka tidak menerima maklumat terkini dengan tepat. 

Sudah sebulan lebih wabak ini bermula, namun KKM masih lambat untuk bertindak.Bilangan kes dan jumlah pesakit semakin meningkat, pihak kementerian pula dikatakan masih dalam proses mengumpulkan maklumat dan lewat menyampaikan informasi kepada rakyat.

Sepertimana yang pernah dicadangkan MCA pada minggu lepas, KKM digesa menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Khas Influenza A khusus untuk menyebarkan informasi berkaitan. Ini kerana kaedah yang sedang diguna pakai oleh KKM sekarang ini mengambil masa yang terlalu lama dan tidak efisien.

Sekiranya nasihat MCA diambil, kami yakin pihak kementerian akan mampu memberi maklumat terkini setiap hari mengenai wabak influenza A dan juga status pembekalan vaksin, seterusnya dapat mengurangkan rasa panik di kalangan rakyat.

Selain itu, Menteri dan Timbalan Menteri juga disaran untuk tidak memberi kenyataan yang bercanggah. Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkely Ahmad dilaporkan berkata, bekalan vaksin mencukupi di hospital awam, manakala Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye pula mengakui bahawa stok vaksin sudah kehabisan dan syarikat-syarikat farmasi dalam proses membuat lebih banyak vaksin. Kemudiannya, Menteri sekali lagi mengumumkan bahawa Malaysia akan mengimport stok vaksin dari luar negara, sekaligus membuktikan bahawa kekurangan bekalan vaksin itu benar berlaku.

Sebenarnya, masalah kekurangan bekalan vaksin di hospital awam dan klinik swasta telah dibangkitkan sejak Disember lalu, namun KKM gagal mengambil tindakan selanjutnya.

Walaubagaimanapun, ucapan penghargaan perlu diberikan kepada Kementerian Kesihatan kerana menempatkan kaunter imbasan terma di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan laporan wabak koronavirus baharu (NCOV) yang bermula di Wuhan, China.

Tindakan ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan demi memastikan Malaysia selamat daripada wabak NCOV ini.

-MCA online-